Murid SMK Mutiara Menyerlah Dalam Program ‘Speaking Nation’ 2019

Pak Nil bersama pelajar-pelajar dan Guru-Guru SMK Mutiara

Labuan, 13 Okt – Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan program Speaking Nation yang dikendalikan oleh Pengacara No. 1 negara Datuk Aznil Nawawi.

Datuk Aznil yang lebih dikenali sebagai Pak Nil telah diiktiraf oleh KPM sebagai Ikon Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK21).

Program Speaking Nation telah diadakan pada 9 Oktober lalu, di Dewan SMK Pantai IBWS Labuan melibatkan lebih 200 murid dari semua sekolah menengah di Labuan.

SMK Mutiara telah diwakili oleh 20 orang murid terdiri daripada daripada Pengawas Sekolah dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dengan 2 guru pengiring iaitu Ustz Rohani binti Tali @ Md Ali dan Cikgu Normaisaraf binti Ab.Rashid.

Sebanyak enam acara berbentuk pertandingan dikendalikan oleh Pak Nil bersama fasilitator-fasilitator daripada Yayasan Pesona. SMK Mutiara telah berjaya memenangi 5 daripada 6 kategori yang telah dipertandingkan.

Antara anugerah yang dimenangi ialah Anugerah sorakan terbaik, Anugerah kumpulan PAK21 (komunikasi), Anugerah kumpulan PAK21 (Kolaboratif), Anugerah kumpulan PAK21 (Kritis) dan Anugerah kumpulan PAK21 (Kreatif).

Pak Nil bersama para peserta yang hadir membanjiri Dewan SMK Pantai

Selain itu, satu anugerah khas telah diberikan oleh Pak Nil sebagai juri utama dalam pertandingan tersebut iaitu anugerah Peserta Luar Biasa. Anugerah ini diberikan kepada peserta yang telah berjaya mencuri tumpuan Pak Nil. Adik Muhd Amsyar Dzulqarnain bin Amirullah, murid Tingkatan 4 dari SMK Mutiara akhirnya telah dipilih sendiri oleh Pak Nil sebagai pemenang sebagai Peserta Luar Biasa.

Ketika ditemui, adik Muhd Amsyar menyatakan rasa syukur atas pemilihan sebagai Peserta Luar Biasa dalam slot yang diadakan di Labuan kali. Beliau tidak menyangka aksi spontan dalam sesi lakonan telah berjaya menarik perhatian Pak Nil.

Dengan kemenangan ini, pasukan dari SMK Mutiara yang dikenali sebagai MUTIARA RELAX terpilih mewakili Labuan ke Putrajaya pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim mengucapkan tahniah atas kemenangan ini dan berharap agar semua guru terus berusaha mencungkil bakat dan potensi murid ke tahap terbaik.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Aktiviti berkumpulan oleh pelajar-pelajar yang menyertai program ‘Speaking Nation’

Loading

image_pdfimage_print