‘Selangkah Ke Menara Gading’ : Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan

Encik Ismail, Dr Suzillah dan tetamu VIP bersama penerima-penerima anugerah

Labuan, 23 Okt – ‘Selangkah Ke Menara Gading’ begitulah tema bagi Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang telah diadakan di Palm Beach Resort and SPA, malam Ahad lalu.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Dr Suzillah Sidek.

Seramai 136 pelajar Tingkatan 6 Atas, 60 ibu bapa dan 38 pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan menghadiri majlis tersebut.

Para Graduasi Tingkatan 6 yang hadir

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya berkata Majlis Graduasi Pusat Tingkatan Enam adalah sebagai perangsang dan semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata prestasi Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan berada pada tahap baik dengan peningkatan Gred Purata Sekolah dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat.

Katanya, Kohort STPM 2018 mencipta sejarah STPM Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan apabila Farah Ain Nabila Roslizar berjaya mendapat keputusan sempurna PNGK 4.00. Kini Farah Ain sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dengan kepujian (Kewangan Antarabangsa) UMSKAL.

Baca berita terdahulu : Farah Ain Cipta Sejarah STPM Labuan

Jelas Encik Ismail, jumlah pelajar STPM 2018 yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS juga melebihi tahun sebelumnya yang berjumlah 75 orang.

“Kita doakan agar pelajar-pelajar kohort ini juga akan dapat mencapai kejayaan lebih baik daripada kohort yang lepas. Kita masih mengimpikan PNGK 3.00 yang belum kesampaian. Pelajar-pelajar perlu ingat jika kita dapat mencapai PNGK 3.00 tahun ini, maka nama Jabatan Pendidikan Labuan akan berada di tempat teratas dalam ranking pencapaian mengikut negeri di seluruh negara,” katanya.

Dr Suzillah bersama pelajar terbaik keseluruhan adik Sharifah Nur Halimatul Sa’adiah Wan Muslim

Sementara itu, Dr Suzillah berkata semua sedia maklum akan dunia pendidikan yang semakin mencabar selari dengan kemajuan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam pembangunan negara.

Katanya, pelajar pada hari ini menggalas tanggungjawab bukan sahaja untuk belajar tetapi dibimbing dan dididik untuk menjadi pewaris negara agar dapat menjadi modal insan yang bukan sahaja berilmu tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah yang terpuji. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’, begitulah harapan yang disandarkan kepada anakanak generasi pada hari ini.

Dr Suzillah berkata majlis graduasi dan peperiksaan STPM adalah satu titik permulaan kepada sebuah perjalanan yang bakal diterokai oleh para pelajar.

Tambah beliau, peluang pendidikan dan kemudahan yang disediakan sewajarnya dijadikansebagaibatuloncatan kepada pelajar supaya dapat menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang.

Katanya, pelajar-pelajar seharusnya berupaya menggunakan kelebihan yang ada bagi merealisasikan impian masing-masing untuk cemerlang dalam peperiksaan STPM tidak lama lagi.

“Dengan semangat yang jitu, adalah penting bagi pelajar-pelajar untuk menzahirkan kejayaan melalui usaha yang berterusan,” katanya.

Pada majlis itu, Anugerah Kokurikulum Terbaik Lelaki diberikan kepada Mohamad Azuan Izack manakala Anugerah Kokurikulum Terbaik Perempuan disandang Nur Nabilla Hartono.

Irham Zulhilmi Mohd Johan pula meraih Anugerah Khas Kepimpinan manakala Anugerah Khas Terbaik Aliran Sains (Amy Siah Hui Bee).

Anugerah Khas Terbaik Aliran Kemanusiaan diberikan kepada Sharifah Nur Halimatul Sa’adiah Wan Muslim.

Beliau sekali lagi menaiki pentas apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Terbaik Keseluruhan 2019.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG SMK Labuan Tuan Haji Md Yusof Haji Chuchu, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Encik Sahbudin Ag Muhamad dan Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print