Program Pengantarabangsaan NPO SAM Jepun dan TOYO University ke SMK Mutiara

Dari kiri : Puan Sarifah, Puan Khaziyati, Puan dan Puan Fumiko Nakamura, Encik Mohd Nizam dan Profesor Yuko Uchiyama

Labuan, 6 November – Seramai dua pegawai daripada Non- Profit Organization (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun dan seorang pensyarah dari TOYO University telah mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) pada Isnin lalu.

Mereka terdiri daripada Takahashi Tony Tatsuya dan Fumiko Nakamura dari NPO SAM dan Profesor Yuko Uchiyama dari Toyo University di Tokyo, Jepun. Lawatan telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman.

Ketibaan rombongan tersebut disambut oleh Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yasim serta penolong-penolong kanan di SMKM. Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kesudian mereka membuat lawatan ke sekolah ini.

Menurut Ketua Rombongan , Puan Khaziyati binti Osman, lawatan ini merupakan usaha pengantarabangsaan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan memantapkan  program silang budaya antara Jepun dan Malaysia.

Selain itu, aktiviti sebegini mampu meningkatkan kesefahaman, rasa saling hormat-menghormati dan meningkatkan jaringan kerjasama di antara satu sama lain. Melalui lawatan ini juga diharap agar SMKM dapat mengadakan jalinan dan jaringan yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa. Jabatan Pendidikan W.P.Labuan bertindak sebagai penghubung bagi aktiviti-aktiviti seumpama ini di masa akan datang.

Mr Tony Tatsuya sedang memberi penerangan kepada Encik Mohd Nizam

Seterusnya, rombongan tersebut dibawa meninjau kawasan sekolah dan melihat kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang ada di sekolah ini. Kemudahan ini termasuklah blok pentadbiran, blok akademik, bilik pembelajaran pendidikan khas, surau, padang dan dewan arena. Pengetua sekolah telah memberi taklimat secara hands on kepada rombongan semasa sesi lawatan tersebut.

Antara perkara yang menjadi tarikan mereka ialah pokok buah naga yang di tanam di kawasan sekitar sekolah yang melebihi 100 pokok.

Lawatan yang dilakukan secara santai ini telah memberi peluang kedua-dua pihak mempelajari budaya masing-masing dan bertukar-tukar pengalaman. Selain menjamu selera makanan Malaysia, rombongan ini juga sempat mendengar laungan azan dan melihat murid-murid SMK Mutiara menunaikan solat zuhur secara berjemaah.

Di akhir lawatan, pihak NPO-SAM menawarkan lawatan balas kepada pihak sekolah untuk meninjau keadaan persekolahan di negara Jepun pada April tahun hadapan.

Satu lagi jaringan kerjasama yang bakal berlaku pada tahun 2020 ialah penempatan dua penuntut Pendidikan Jasmani dari University TOYO di SMK Mutiara. Perkara ini akan dimuktamadkan kemudian. Sebelum lawatan berakhir, pihak sekolah dan NPO SAM telah merakam gambar bersama, menandatangani buku lawatan dan sempat bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenangan. 

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam membawa rombongan melawat sekitar sekolah SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print