Program Pengantarabangsaan NPO SAM Jepun dan TOYO University ke SMK Mutiara
Labuan, 6 November – Seramai dua pegawai
daripada Non- Profit Organization (NPO) Save the Asian Monument (SAM) Jepun dan
seorang pensyarah dari TOYO University telah mengadakan lawatan kerja ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) pada Isnin lalu.
Mereka terdiri daripada Takahashi
Tony Tatsuya dan Fumiko Nakamura dari NPO SAM dan Profesor Yuko Uchiyama dari
Toyo University di Tokyo, Jepun. Lawatan telah diketuai oleh Timbalan Pengarah
Pendidikan, Sektor Perancangan, Puan Khaziyati binti Osman.
Ketibaan rombongan tersebut
disambut oleh Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yasim serta penolong-penolong
kanan di SMKM. Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas
kesudian mereka membuat lawatan ke sekolah ini.
Menurut Ketua Rombongan , Puan Khaziyati binti Osman, lawatan ini merupakan usaha pengantarabangsaan Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan memantapkan program silang budaya antara Jepun dan Malaysia.
Selain itu, aktiviti sebegini mampu meningkatkan kesefahaman, rasa saling hormat-menghormati dan meningkatkan jaringan kerjasama di antara satu sama lain. Melalui lawatan ini juga diharap agar SMKM dapat mengadakan jalinan dan jaringan yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa. Jabatan Pendidikan W.P.Labuan bertindak sebagai penghubung bagi aktiviti-aktiviti seumpama ini di masa akan datang.
Seterusnya, rombongan tersebut dibawa meninjau kawasan sekolah dan melihat kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang ada di sekolah ini. Kemudahan ini termasuklah blok pentadbiran, blok akademik, bilik pembelajaran pendidikan khas, surau, padang dan dewan arena. Pengetua sekolah telah memberi taklimat secara hands on kepada rombongan semasa sesi lawatan tersebut.
Antara perkara yang menjadi tarikan mereka ialah pokok buah naga yang di tanam di kawasan sekitar sekolah yang melebihi 100 pokok.
Lawatan yang dilakukan secara
santai ini telah memberi peluang kedua-dua pihak mempelajari budaya
masing-masing dan bertukar-tukar pengalaman. Selain menjamu selera makanan
Malaysia, rombongan ini juga sempat mendengar laungan azan dan melihat
murid-murid SMK Mutiara menunaikan solat zuhur secara berjemaah.
Di akhir lawatan, pihak NPO-SAM menawarkan lawatan balas kepada pihak sekolah untuk meninjau keadaan persekolahan di negara Jepun pada April tahun hadapan.
Satu lagi jaringan kerjasama yang bakal berlaku pada tahun 2020 ialah penempatan dua penuntut Pendidikan Jasmani dari University TOYO di SMK Mutiara. Perkara ini akan dimuktamadkan kemudian. Sebelum lawatan berakhir, pihak sekolah dan NPO SAM telah merakam gambar bersama, menandatangani buku lawatan dan sempat bertukar-tukar cenderamata sebagai tanda kenangan.
Berita Oleh : SMK Mutiara