Kem Kepimpinan Pengawas SMK Mutiara Membentuk Jatidiri Pemimpin Muda

PUAS DAN GEMBIRA : Pengawas SMK Mutiara dapat melaksanakan tugas khidmat masyarakat di kampung sekitar Labuan

Labuan, 23 Nov – Badan Pengawas SMK Mutiara telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengawas bagi tahun 2019 bertempat di Pusat Kokurikulum Kg Ganggarak W.P Labuan. Kem yang berlangsung pada 20 hingga 22 November lalu telah ditaja sepenuhnya oleh PIBG SMK Mutiara.

Seramai 30 orang calon pengawas terlibat dalam kem ini yang terdiri daripada 12 orang peserta lelaki dan 18 orang perempuan. Semua aktiviti telah dikendalikan oleh 16 orang fasilitator yang terdiri pengawas-pengawas senior.

Peserta kem telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang dibimbing oleh 2 orang fasilitator setiap kumpulan. Aktiviti-aktiviti sepanjang kem berlangsung telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Pengawas iaitu adik Muhd Amsyar Dzulqarnain Bin Amirullah (T.4) dan Timbalan Pengawas 1 adik Mohd Afiq Zulfadhli Bin Jafar (T.4).

Manakala Ustazah Rohani Binti Tali @ Md Ali bertindak sebagai kem komandan dibantu oleh Ketua Guru Pengawas Pn Maslinda Binti Mat Jan, Ketua guru disiplin En Yunos Bin Arsad dan Timbalan Kem Komanden Cg Zulrida Binti Ismail yang juga Jurulatih Kanan Puskowila.

Menurut Ustazah Rohani, kem ini bertujuan untuk meningkatkan jati diri dan keyakinan seorang pengawas terutama ketika menjalankan tugas. Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana sepanjang kem ini berlangsung semua peserta telah melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dirancang dengan penuh dedikasi dan berjaya melaksanakan semua tugasan yang diamanahkan.

Kem selama 3 hari 2 malam yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti membentuk jati diri dan kepimpinan. Antaranya ialah aktiviti latihan kecergasan, bengkel LDK, amali keagamaan, ikhtiar hidup dan khidmat masyarakat.

Pengawas SMK Mutiara juga bekesempatan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah warga emas

Selain itu, peserta kem juga didedahkan dengan bengkel pengucapan awam yang dikendalikan oleh Tn Hj Minggu Bin Amat, Jurulatih Sukan di SMK Mutiara yang juga bekas guru kaunseling.

Peserta kem juga teruja apabila mereka dibawa ke kampung-kampung sekitar kawasan kem untuk melaksanakan khidmat sosial termasuklah bekerjasama dan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah warga emas.

Sambil melaksanakan kerja amal, mereka turut sempat membuat temuramah dan beramah mesra dengan ketua kampung Ganggarak, Encik Rahmat bin Haji Ali dan Ketua Kampung Lubok Temiang, Encik Khalid bin Mohd Saniff. Selain itu, seorang penduduk Kg Lubok Temiang, En Aspan Bin Ngadi dan 2 orang warga emas iaitu Pn Hajjah Dayangku Isah Binti Pengeran Omar dan Pn Dayang Tangah Binti Daud turut juga di kunjungi dan disantuni.

Setiap kumpulan diwajibkan membuat laporan dan membentangkan hasil dapatan, pengalaman dan pengajaran setiap kali selepas berakhirnya sesuatu aktiviti. Kaedah ini untuk melatih para peserta membuat penilaian dan refleksi terhadap perkara-perkara yang dialami dan dipelajari.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Mutiara En Mohd Nizam Bin Yasim. Dalam ucapannya, beliau berharap agar semua pengawas dapat melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan tegas dan amanah. Sebagai seorang pemimpin muda, mereka harus tabah dan berani dalam membantu guru menguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan sekolah.

Beliau juga berpesan kepada semua peserta tentang peripentingnya mengamalkan rukun negara sepanjang masa dan bukannya dihafal semata-mata.

Ucapan perasmian penutup oleh Encik Mohd Nizam

Di akhir majlis, beliau turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada peserta kem yang telah berjaya menunjukkan komitmen, semangat dan kerjasama yang tinggi. Adik Mohd Ifhan Alip Bin Noor Azmil (T.3) dan Adik Siti Aisyah Binti Abdullah (T.3) telah dipilih sebagai peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan. Manakala Adik Muhd Mifzal Bin Mohd Rapi (T.3) dan Adik Mohd Izzat Bin Mohd Jais (T.2) telah dipilih sebagai fasilitator paling komited.

Sementara itu, adik Muhd Amsyar dan adik Mohd Afiq Zulafdhli turut dihargai atas usaha keras mereka mengendalikan kem ini dengan bersungguh-sungguh.

Pihak penganjur juga tidak melupakan jasabaik dan kerjasama Ketua-ketua dan penduduk kampung terlibat dengan menyumbang hamper berbentuk makanan dan minuman kepada wakil mereka iaitu Encik Aspan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Penyampaian hadiah kepada para peserta yang menunjukkan komitmen yang tinggi

Loading

image_pdfimage_print