Labuan , 25 Nov 19 – Satu majlis jamuan akhir tahun rasmi bertemakan Majlis Apresiasi Pengawas Pusat Sumber sempena meraikan 12 pengawas Pusat Sumber tahun akhir di SMK Rancha-Rancha telah diadakan di Pusat Sumber DSDN pada 20 November lalu.
Majlis itu bertujuan meraikan 12 pengawas tahun akhir di SMK Rancha-Rancha yang bakal menamatkan pengajian mereka pada penghujung November 2019 dan memberi anugerah kepada pengawas , ibu bapa dan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan penggerak aktif pusat sumber komuniti sepanjang tahun 2019.
Guru Perpustakaan dan Media , Encik Sapri bin Idris berkata selain meraikan pengawas pusat sumber tahun akhir, majlis itu dapat menyuntik semangat pengawas yang masih di peringkat awal persekolahan untuk sama-sama mengikuti kecemerlangan pengawas pusat sumber yang bakal menamatkan persekolahan mereka pada hujung November ini .
Pengetua SMK Rancha-Rancha, Encik Yahya Ahmad Puteh, ketika membuat ucapan alu-aluan berkata “Semua warga SMK Rancha-Rancha berbangga dengan pencapaian Pusat Sumber DSD SMK Rancha-Rancha atas komitmen kuat para pengawas pusat sumber membantu Cikgu Sapri bin Idris dalam aktiviti keceriaan PSS dan pelaksanaan program sepanjang tahun. Para pengawas berpeluang melibatkan diri pada majlis ini dengan melaksanakan tugas masing-masing dan secara langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta meningkatkan kerjasama dalam kalangan para pengawas pusat sumber sekolah ” katanya.
Majlis yang dianjurkan oleh pengawas pusat sumber Sesi 2019 dengan kerjasama pihak pengurusan Pusat Sumber Sekolah DSDN dan Bahagian Hal Ehwal Murid itu turut dihadiri oleh Bapa Angkat SMK Rancha-Rancha iaitu Dato Sri Mohd Alias bin Haji Abdul Rahman, Penaung Pusat Sumber Dato Sri Hajah Norsiah binti Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Dato Haji Abdul Rahman serta ahli komuniti pusat sumber sekolah.
Sebanyak lima anugerah utama iaitu Anugerah Penggerak Pusat Sumber Komuniti, Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Pengharagaan Pengawas Pusat Sumber , Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik, dan Anugerah Keseluruhan Pengawas PSS Tingkatan Terbaik, telah disampaikan kepada pengawas pusat sumber dan ahli pusat sumber komuniti yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum , sahsiah serta pengurusan dalam PSS.
Anugerah Pengawas Pusat Sumber Cemerlang Akademik berjaya diraih oleh pelajar tahun akhir, Saudara Muazam bin Hazim. Anugerah itu merupakan anugerah utama Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha yang diberikan kepada pelajar yang memenuhi kriteria cemerlang dalam PT3 dan peperiksaan percubaan SPM. Selain itu Saudara Pg. Azmilshah bin Azmishah telah menerima Anugerah Tangan Emas, Saudara Mohd Anas bin Hamzah telah menerima Anugerah Media Sosial dan Saudara Raziq bin Mat Kilau telah menerima Anugerah Ikon Rancha’s FM .
Pada tahun ini Saudara Nasrullah Hanudin telah menerima Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik yang mana kriterianya mempunyai kesetiaan tinggi kepada PSS, mempunyai dedikasi kepimpinan dan kredibiliti, banyak menyumbang tenaga dalam menjayakan setiap aktiviti PSS , tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib. Anugerah Pengawas Pusat Sumber Terbaik Keseluruhan Tingaktan telah dimenangi oleh pengawas PSS Tingkatan 1. Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh saudari Anes Farisha.
Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha merupakan antara pusat sumber yang terbaik di Malaysia. Pernah meraih tempat kelima 2016 dan keempat 2018 di peringakat Kebangsaan dalam pertandingan Anugerah Pusat Sumber Cemerlang anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia juga menerima penarafan Pusat Sumber 5 Bintang oleh Kementeriaan Pendidikan Malaysia.
Berita Oleh : Encik Sapri Bin Idris, SMK Rancha-Rancha