Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Badan-badan Pengawas Sekolah seramai 221 orang yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Kebersihan dan Keceriaan, Pengawas Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Kantin dan Ketua dan Penolong Ketua Kelas Sekolah telah berlangsung di Pusat Sumber Gemilang SK. Pekan II, WP. Labuan.
Matlamat Majlis Penyampaian Watikah Pengawas ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin cilik yang sama-sama bertanggungjawab menjaga disiplin dan sahsiah dalam kalangan murid-murid sekolah ini.
Antara lain objektifnya adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis cilik yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas murni yang diamanahkan, selain meningkatkan tahap motivasi murid-murid yang dipilih untuk menjalankan tugas dengan baik.
Majlis disempurnakan oleh Guru Besar, Puan Hajah Dayang Hj Md Yassin disertai oleh barisan Penolong Kanan Kurikulum, Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan KoKurikulum.
Lembaga Pengawas Sekolah yang terdiri daripada murid-murid sekolah ini dan mereka akan membantu menjalankan pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah. Dengan cara memberi pengiktirafan sebegini dapat menjentik dan memberi inspirasi serta semangat kepada pemimpin cilik tersebut dengan sepenuh tanggungjawab dan dedikasi supaya mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya.
Mereka yang dilantik akan membantu guru-guru melicinkan lagi operasi pemantauan disiplin sekolah, kebersihan kantin dan keceriaan sekolah serta pusat sumber sekolah dan menjadi pembimbing rakan sebaya sekolah.
Selain itu, mereka juga akan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan kepelbagaian bidang tugas pengawas yang telah diamanahkan kepada mereka dan menjalankan aktiviti dalam memberi khidmat bantuan kepada rakan mereka dalam setiap program yang dijalankan.
Terdahulu dalam ucapannya, Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing kerana berjaya membentuk kredibiliti pemimpin cilik ini.
Syabas dan tahniah kepada semua Pengawas yang menerima watikah pelantikan serta menyeru supaya pengawas menjadi contoh disiplin yang terbaik kepada murid-murid yang lain. selain itu beliau juga berkata pengawas adalah tulang belakang dan pembantu utama guru dalam memastikan pematuhan disiplin semua murid berada pada tahap yang terkawal.
Pihak sekolah berharap jawatan yang diamanahkan kepada mereka akan dapat digalas sebaik-baiknya demi melatih murid-murid menjadi pemimpin teladan yang bersemangat dan berdedikasi, bertanggungjawab serta amanah dalam melaksanakan tugas.
“ Murid-murid yang memainkan peranan sebagai “Leadership Junior” di peringkat sekolah ini adalah merupakan suatu permulaan yang baik kepada mereka untuk menjadi pemimpin yang berwibawa kepada masyarakat pada masa akan datang”. Puan Hajah Dayang Hj Md Yassin
Dalam pada itu juga Guru Besar telah mengumumkan akan memberi kemudahan “Bilik Operasi Pengawas Cilik” (BOPc) iaitu sebuah bilik untuk pengawas menjalankan operasi mereka dalam masa terdekat ini.
Beliau juga menyeru supaya pengawas mempunyai tahap prestasi yang cemerlang dalam pelajaran mereka. Untuk itu mereka perlu pandai mengagihkan masa demi memastikan semua pengawas terus cemerlang dalam pelajaran walaupun pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai pengawas.
Berita Oleh : SK Pekan II