Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha Capai Objektif 5 Dalam 1 Melalui Pameran Bertemakan Sambutan Tahun Baharu Cina 2020

Tetamu kehormat bersama barisan pentadbir, guru serta pelajar SMK Rancha-Rancha di majlis penutupan pameran bertema sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha tahun 2020

Labuan, 3 Feb 2020 – Seramai 600 orang pengunjung dianggarkan ke Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha sepanjang berlangsungnya Program Hiasan Bertema sempena Tahun Baharu Cina pada 30 Januari lalu.

Program ini merupakan program tahunan yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha dalam usaha menyuburkan literasi maklumat dalam kalangan pelajar, guru dan ahli komuniti setempat.

Pengetua sekolah, Encik Yahya bin Ahmad Puteh sewaktu ucapan alu-aluan di majlis penutupan berkata program itu adalah antara platform memupuk perpaduan pelbagai kaum apabila pelajar dapat mengetahui budaya orang Cina di Malaysia.

Tambah beliau lagi, hampir 99 % pelajar di SMK Rancha-Rancha adalah daripada orang Melayu dan justifikasi pelaksanaan program seperti ini amat dituntut untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada warga SMK Rancha-Rancha tentang kebudayaan serta perayaan orang Cina.

Beliau berkata, keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baharu Cina di negara ini mencerminkan Malaysia sebagai negara majmuk yang istimewa.

” Sekolah sebagai entiti penting pendidikan  dan ahli komuniti perlu berganding bahu mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum bagi meneruskan keharmonian yang tercipta sejak dulu,” Encik Yahya Ahmad Puteh.

Program telah dirasmikan oleh tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong dan tetamu yang hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan  Encik Awang Marteen bin  Datuk Haji Abdul Rahman, barisan pentadbir SMK Rancha-Rancha, para guru serta pengawas pusat sumber sekolah.

Dr Chong Vui Hiong merasmikan penutupan hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Sumber DSDN smk Rancha-Rancha

Pada majlis tersebut Dr Chong Vui Hiong seorang tokoh komuniti aktif di W.P Labuan  berasa sungguh gembira kerana dijemput sebagai perasmi penutupan program yang dijalankan.

“Semua ini perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan negara dapat terus dipacu menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), sekali gus memberi manfaat kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kaum membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan pembangunan dengan lancar serta taraf hidup rakyat di negara ini dapat dipertingkatkan,” katanya.

Atas rasa tanggungjawab sebagai ahli komuniti , pada majlis tersebut, beliau telah bermurah hati memberi angpau kepada 20 orang guru  serta 25 orang pengawas pusat suber sekolah. Dr Chong Vui Hiong juga telah memberi sedikit sumbangan berbentuk wang kepada pusat sumber sekolah.

Guru perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha En. Sapri bin Idris  berkata program hiasan bertema sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang dijalankan oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha ini berkonsepkan 5 dalam 1.

Melalui program tersebut jalinan komuniti dan agensi kerajaan dapat dilakukan. Selain itu pembudayaan literasi maklumat dalam kalangan warga sekolah juga dapat disuburkan. Akhir sekali, amalan sivik melalui nilai kasih sayang dapat dipraktikkan yang akhirnya akan membuahkan perpaduan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Cikgu Sapri bin Idris menerima sumbangan kewangan untuk PSS DSDN SMK Rancha-Rancha daripada Tokoh komuniti Dr Chong Vui Hiong
Pemberian angpau kepada pelajar dan pengawas pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha

Loading

image_pdfimage_print