SK Sungai Bedaun Sedia Pertahan Kejuaraan

"Kami Sudah Bersedia!", laungan dari atlet-atlet merentas desa SK Sungai Bedaun bersama Jurulatih dan Guru-Guru SKSB

Labuan, 4 Feb 2020 – Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) yang diadakan pada setiap tahun kini semakin menghampiri.

Pada tahun ini, kejohanan tersebut akan diadakan pada 8 Februari 2020 bertempat di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sekolah-sekolah di WP Labuan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam menyediakan atlet-atlet sekolah masing-masing untuk menyertai kejohanan ini. Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun WP Labuan juga tidak ketinggalan dalam melatih atlet-atlet muda yang akan mewakili sekolah.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah binti A. Mahmod berkata beliau memberi kepercayaan penuh kepada guru-guru yang berkemahiran untuk melatih murid-murid dengan mengutamakan keselamatan dan mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

Jurulatih-jurulatih yang diketuai oleh Penolong Kanan Ko Kurikulum, Encik Mohammad Aizam bin Abdul Rahim, dan jurulatih utama, Encik Mohammad Azwan bin Saad, telah menyediakan jadual latihan intensif yang begitu padat dan berkesan.

Encik Mohammad Aizam menyatakan bahawa murid-murid yang akan mewakili SK Sungai Bedaun pada tahun ini telah dipilih dengan melihat tahap konsistensi dan stamina serta berdasarkan pencapaian semasa Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah yang diadakan pada bulan Januari yang lalu.        

Untuk rekod, SK Sungai Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sekolah Rendah WP Labuan dalam kejohanan yang lalu apabila berjaya merangkul Johan Berkumpulan Perempuan Bawah 12 Tahun dan Naib Johan Berkumpulan Lelaki Bawah 12 Tahun.

Dengan itu, SK Sungai Bedaun berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan peringkat negeri pada tahun ini dan seterusnya mara ke peringkat kebangsaan.  

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Latihan Penyesuaian Laluan Merentas Desa yang dibuat di UMSKAL bagi memberi pendedahan awal kepada atlet-atlet SK Sungai Bedaun WP Labuan

Loading

image_pdfimage_print