LABUAN, 4 FEBRUARI – Tarian Singa yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina telah diadakan dengan meriah di Dataran Datuk Mary Yap, SK Pantai. Aktiviti yang dijadikan sebagai acara tahunan bermula dari tahun lepas itu berperanan sebagai salah satu usaha pihak sekolah dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga SK Pantai.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Puan Mahani Bt Hussin, Guru Besar SK Pantai. Dalam ucapannya, selaras dengan tema nilai murni bulan Februari, amalan hormat menghormati haruslah disemai dalam jiwa seluruh warga SKP dalam meraikan perbezaan antara kaum-kaum di Malaysia. Beliau turut menggesa agar warga SKP menjadi warga yang harmoni dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain tanpa mengira agama atau kaum.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pentadbir yang terdiri daripada En Mohamad Rizdauddin B Abd Wahap, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Azlina Bt Abd Garip, Penolong Kanan HEM, Puan Farina Bt Mustapa, Penolong Kanan Kokurikulum dan Puan Halifah Bt Salim, Penolong Kanan PPKI. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran semua guru dan staf sokongan SKP. Menariknya, bukan hanya murid-murid yang teruja dengan persembahan tersebut, ia turut menarik perhatian staf kesihatan KKM yang sedang menjalankan pemeriksaan kesihatan di sekolah pada hari tersebut.
Persatuan Goh Lion Dance Association telah dijemput bagi tahun kedua berturut-turut untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan mempersembahkan tarian singa. Turut menarik perhatian ialah dinding yang dihiaskan dengan tema Tahun Baru Cina, serta di seluruh kawasan sekolah termasuk pondok Nilam, pondok PPKI dan prasekolah, yang meningkatkan rasa keterujaan dalam kalangan murid-murid dalam menantikan kedatangan tarian singa. Tarian singa tersebut turut disertai oleh murid-murid program pendidikan khas integrasi dengan singa buatan sendiri.
Bertepatan dengan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, majlis seperti ini sangat sesuai diadakan diperingkat sekolah sebagai salah satu aktiviti tahunan untuk menerapkan perpaduan dan meningkatkan rasa hormat menghormati di kalangan murid-murid SK Pantai. Dengan acara sebegini telah memberikan platform kepada murid pelbagai kaum berinteraksi supaya menjadi lebih erat. Program seumpama ini juga sebagai salah satu cara untuk menangani gejala ponteng dengan menarik minat murid bermasalah kehadiran untuk datang ke sekolah.
Penyelaras program, Pn Natasha turut berterima kasih kepada semua warga SKP khasnya barisan pentadbir dan guru-guru atas kerjasama yang mantap dalam memastikan kelangsungan dan kelancaran majlis tersebut.