BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : Akauntabiliti Terhadap Pendidikan Di Labuan Tanggungjawab Bersama

Amanat dan Aspirasi Tahun 2020 oleh Encik Raisin Saidin

Labuan 16 Feb 2020 – Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin telah menyampaikan Amanat dan Aspirasi Pendidikan 2020 bertemakan BERSAMA-SAMA MELANGKAH LEBIH JAUH : AKAUNTABILITI TERHADAP PENDIDIKAN DI LABUAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

Seramai 500 orang warga pendidikan di Labuan telah menghadiri Majlis tersebut bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh Encik Raisin Saidin di Dewan Utama, Sekolah Antarabangsa Labuan, kelmarin.

Encik Raisin Saidin berkata setiap guru perlu membuat refleksi terhadap tugas mereka sebagai seorang pendidik. Natijah yang besar akibat kerja buat seorang guru mampu mengubah tingkah laku seseorang murid di dalam bilik darjah.

“Roh dan aura seorang guru yang ‘mendarah daging’ hendaklah sampai kepada murid-murid dan sehingga mereka yakni murid dapat merasainya” Encik Raisin Saidin

Empat pendekatan yang difokuskan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2020 iaitu akauntabiliti seorang guru terhadap muridnya sesuai dengan slogan ‘guru sayang muridnya’, aura roh guru sentiasa mendarah daging dalam diri guru, guru mengajar murid belajar dan berbuat, meningkatkan kecemerlangan dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

Tambahnya lagi setiap ringgit daripada peruntukan kewangan yang diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan dibelanjakan sama ada di peringkat Jabatan mahu pun di sekolah hendaklah memberi pulangan maksimum kepada murid. Dengan kata lain faedahnya hendaklah dipulangkan kepada anak-anak murid.

Ikrar Perkhidmatan Awam oleh warga pendidikan yang hadir
Para Guru Besar dan guru-guru yang hadir mendengar amanat dan aspirasi tahun 2020

Majlis telah dirasmikan oleh Datuk Rozman Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan dilihat sebagai prospek terbaik dalam membantu meningkatkan sektor pelancongan di wilayah ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Jabatan Pendidikan Labuan menganjurkan seminar, persidangan, lawatan silang budaya, pertandingan sukan serta aktiviti kokurikulum yang dilihat sebagai penyumbang yang membantu perkembangam industri pelancongan di wilayah ini.

“Saya berharap pada tahun 2020, pemimpin sekolah akan lebih aktif menganjurkan hubungan permuafakatan di peringkat antarabangsa ke Labuan” . Datuk Rozman Haji Isli.

Datuk Rozman Haji Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama Pegawai dan Warga Sekolah di Labuan

Terdahulu, Bual Bicara Profesional membincangkan hala tuju pendidikan di Labuan, mentransformasi sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan melalui pemantapan peranan dan fungsi pembangunan dasar, perancangan serta pengoperasian di peringkat Kementerian dan Jabatan Pendidikan.

Ahli panel terdiri daripada Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Puan Khaziyati bt Osman, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon bt Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Ag Marten bin Abdul Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yusoff.

Moderator bual bicara ini dipengerusikan oleh Pgn. Abd Kadir bin Pgn. Budin.

Moderator dan Panel Bual Bicara Profesional

Sempena majlis itu juga, Datuk Rozman turut menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan kepada tiga individu yang telah banyak membantu dan menyumbang kepada Jabatan Pendidikan Labuan sepanjang tahun 2019.

Tiga individu yang menerima anugerah khas itu ialah ahli korporat, YBhg. Datin Sri Dato’ Hajah Norsiah Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Labuan, Tuan Haji Md.Yusof bin Chuchu dan Guru Besar Tadika Riang Ria, Puan Ong Nyuk Ping.

Datuk Rozman Hj Isli, Encik Raisin Saidin, Timbalan-timbalan Pengarah bersama penerima Anugerah Pendidikan
Sokongan berterusan daripada Komuniti PIBG Sekolah
Gambar Kenangan : Encik Raisin Saidin bersama Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, YDP MPSM dan Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan

Loading

image_pdfimage_print