‘KIBARAN’ JENTAYU Bolot Pingat Sukan Olahraga SKSB Tahun Ke-4 Berturut-turut

Rumah Sukan Jentayu merakam kenangan bersama Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encii Raisin Saidin, usai dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) WP Labuan 2020 melabuhkan tirai Hari Sukan Sekolah pada 16 Februari yang lalu. Temasya ini menyaksikan rumah sukan Jentayu sekali lagi mencatat rekod sebagai juara keseluruhan.

Dengan kutipan sebanyak 18 pingat emas, rumah sukan Jentayu mempertahankan kedudukannya sebagai juara bagi tahun keempat berturut-turut.

Sebanyak 55 buah acara telah dipertandingkan dengan penglibatan seramai 638 orang murid yang menjalani latihan komprehensif oleh guru-guru dari rumah sukan Jentayu, Cenderawasih, Kasawari dan Garuda.

Pembukaan kejohanan sukan sekolah tahun ini telah diadakan di Padang SKSB pada 12 Februari yang lalu. Acara yang dipertandingkan di padang SKSB termasuklah lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru kategori lelaki dan perempuan.

Turut dipertandingkan pada awal pembukaan kejohanan ialah merentas desa, lari berpagar 80 meter dan acara bagi murid Tahun Satu dan Tahun Dua iaitu lari pecut 80 meter dan lari berganti-ganti 4×80 meter.

Temasya Sukan Olahraga SKSB Kali ke-18 diteruskan lagi dengan acara larian bagi murid-murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam bertempat di Kompleks Sukan Labuan.

Kontinjen Perbarisan rumah Cenderawasih mengenakan kostum yang kreatif dan menarik untuk membuat perbarisan lintas hormat.
Acara larian 100M Perempuan tahun 6
Lompatan juara acara lompat jauh oleh Pengiran Muhammad Shahrizal Bin Pengiran Masri.

Larian comel 80 meter turut diadakan bagi memberi peluang kepada murid yang mempunyai berat badan melebihi 50 kilogram agar dapat mengambil bahagian dalam acara larian di trek.

Majlis turut diserikan dengan lintas hormat 33 orang peserta perbarisan setiap kontinjen rumah sukan berjalan lalu dengan segak dan berdisiplin.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah Binti A. Mahmod, menyampaikan ucapan aluan dengan merakamkan penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa murid, penjaga murid dan komuniti atas kerjasama erat yang telah menjayakan inisiatif Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sempena hari sukan sekolah tersebut.

Inisiatif PIBK merupakan salah satu anjakan di dalam dasar pendidikan yang terbaharu.

Mengulas lanjut, Puan Dg Sarifah mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang berkorban masa dan tenaga sepanjang latihan sukan dan semasa pertandingan diadakan tanpa mengabaikan kepentingan akademik murid-murid.

Beliau percaya kejohanan ini akan menjadi medan terbaik untuk guru-guru mencipta kreativiti memacu semangat pelajar, manakala para pelajar pula berpeluang mengerah kudrat, melepaskan beban emosi dalam acara yang disertai dan seterusnya mencipta momentum yang dapat menjana tenaga dalaman seterusnya menjadi juara.

Beliau tidak lupa menyampaikan amanat dan motivasi kepada murid-murid SKSB bahawa kejohanan ini merupakan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid bahawa kejayaan tidak dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

Guru-guru SK Sungai Bedaun WP Labuan bergambar kenangan bersama Encik Raisin Saidin.

Majlis temasya sukan ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Dalam ucapannya berkata, hari sukan sekolah yang dijalankan bukan sahaja semata-mata untuk melatih kecergasan fizikal murid-murid bagi melahirkan generasi yang bersifat holistik, malah ia juga merupakan satu platform untuk menggilap kebolehan murid-murid di dalam bidang sukan dan seterusnya mengetengahkan bakat mereka hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau juga ingin melihat lebih ramai murid SK Sungai Bedaun mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dalam bidang sukan ke peringkat kebangsaan.

Beliau menegaskan, kejohanan ini dapat menjadi wadah bagi memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa. Beliau turut menyatakan perasaan kagum apabila melihat semangat kesukanan yang telah ditunjukkan oleh murid-murid SK Sungai Bedaun begitu tinggi dan jitu.

Majlis turut menyaksikan Olahragawan SKSB bagi tahun 2020 telah disandang oleh adik Mohd Afiq Bin Abdullah dengan memperolehi 2 pingat emas, manakala Olahragawati SKSB pula disandang oleh adik Nur Syafiqah Dhanish Binti Junaidy dengan pingat emas sebanyak 3 pingat. Kedua-duanya dari rumah sukan Garuda.

Turut hadir, Encik Mohamad Bin Pindut selaku pegawai angkat SKSB, Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman selaku Pengerusi PIBG SKSB, dan Encik Rosmani Bin Puteh selaku Ketua Kampung Sungai Bedaun.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah menyampaikan cenderahati kepada Encik Raisin Saidin, sambil diperhatikan oleh (dari kanan) Puan Zubaidah (PK HEM), Encik Mohamad (pegawai angkat sekolah), Encik Rosmani (ketua kampung Sungai Bedaun) dan Puan Wiwik Iswandari (YDP PIBG).

Loading

image_pdfimage_print