SM St Anne dan SM St Anthony Pengelola Bersama Majlis Pemuafakatan KPM Bersama PDRM : PROGRAM JOM KE SEKOLAH 2020

Gambar Kenangan : Puan Mary Anita (dua kiri), Encik Abdul Rahman, Encik Raisin Saidin, Superitendan Muhamad Farid, Puan Dona bersama warga pendidik dan warga sekolah SM St Anne dan SM St Anthony

Labuan, 18 Feb 2020 – Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) : Program Jom Ke Sekolah dan Pelancaran Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Peringkat Kebangsaan, WP Labuan Tahun 2020 telah berlangsung di Dewan Muhibah, SM St Anne, kelmarin.

Sekolah Menengah St Anne dan Sekolah Menengah St Anthony telah diamanahkan menjadi sekolah pengelola bagi menjayakan program tahun 2020 ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bersama Polis Diraja Malaysia ini turut dihadiri oleh Superintenden Muhamad Farid Bin Ahmad, Ketua Polis WP Labuan, Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Pegawai Perhubungan Sekolah SM St.Anne & SM St.Anthony, YDP PIBG SM St.Anne & SM St.Anthony, Paderi Paroki Sekolah-sekolah Mission, para pengetua dan guru besar, pegawai-pegawai, guru-guru, murid-murid daripada SM St.Anne dan SM St.Anthony.

Encik Raisin Saidin menyambut kehadiran murid SM St Anne sambil diperhatikan oleh Superitenden Muhamad Farid

Superintenden Muhamad Farid dalam menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara berkata, kesepakatan, komitmen, dan kesungguhan semua pihak, sama ada KPM, PDRM, NUTP, ibu bapa, dan komuniti yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan program Jom ke Sekolah ini akan menghasilkan impak yang besar kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Tambahnya lagi, PDRM amat berbesar hati dengan kerjasama berterusan melalui kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah KPM. Pelaksanaan program Jom ke Sekolah ini adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang lebih mantap di antara pihak sekolah dan PPS.

Pada akhir perutusan, beliau menyatakan bahawa program ini juga merupakan kesempatan untuk melancarkan Buku Panduan PPS sebagai buku rujukan KPM dan PDRM bermula tahun ini. “Semoga semua pihak yang berkaitan akan mendapat manfaat yang besar dari pelancaran buku ini”, katanya sebelum mengakhiri perutusan yang disampaikan.

Murid-murid SM St Anne dan SM St.Anthony yang hadir dalam Majlis Pelancaran Program Jom Ke Sekolah
Encik Raisin Saidin (tengah), Superitenden Muhamad Farid (kanan), Puan Mary Anyita (2 kiri) dan Puan Dona (2 kanan) bersama-sama dengan Pegawai Perhubungan Sekolah dan penerima Anugerah St.Anne Role Model of The Month bagi Tingkatan 1 hingga 5.

Encik Raisin Saidin dalam ucapan perasmian, mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak SM St.Anne dan SM St.Anthony kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran bagi program ini secara serentak dengan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut beliau, pengurusan disiplin di sekolah memerlukan komitmen daripada semua pihak agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang.

Seterusnya, beliau juga menyatakan bahawa dengan adanya gabungan kolaborasi seperti ini, warga sekolah khususnya mempunyai saluran yang sesuai untuk memberi dan menerima aduan di samping menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin murid.

Dalam erti kata lain, program ini merupakan dimensi lain dalam membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah. Selain itu, beliau turut memberi peringatan kepada pihak pentadbir sekolah agar sentiasa memastikan pengurusan disiplin murid ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa agar proses perkhidmatannya dapat ditingkatkan dan lebih berkesan.

“Gunalah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda hanya sekali. Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetetif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya” Encik Raisin Saidin

Dalam majlis pelancaran Program Jom ke Sekolah ini juga, penyampaian Anugerah Kehadiran Terbaik  Kelas SM St.Anne dan SM St.Anthony turut diadakan.

Anugerah ini diberikan kepada kelas-kelas yang berjaya mencapai KPI Kehadiran KPM dan Jabatan Pendidikan WP Labuan iaitu 95%.

Selain itu, Anugerah SM St.Anne Role Model of The Month turut diberikan kepada 5 orang murid tingkatan 1 hingga 5 yang menepati beberapa kriteria seperti tidak mempunyai masalah kehadiran atau lewat, tidak mempunyai masalah kehadiran aktiviti kokurikulum, berketerampilan dan berpakaian kemas, sentiasa menyiapkan kerja sekolah dan fokus semasa pdpc serta berkelakuan baik dan boleh dicontohi.

Berita Oleh : SM St Anne

Erviana Bernard, Ketua Kelas 5A2 menerima Anugerah Kehadiran Terbaik Kelas dengan peratus kehadiran tertinggi, iaitu 99%. 10 daripada 15 kelas di SM St.Anne berjaya mencapai 95% ke atas untuk kehadiran bulan Januari
Penerima Anugerah Kehadiran Terbaik Kelas SM St.Anthony dengan peratus kehadiran tertinggi sebanyak 97.63%.
Dari Kiri : Encik Ag Marten, Encik Abd Rahman, Superitenden Muhamad Farid, Encik Raisin Saidin, Encik Yusup dan Encik Syamsul ( berdiri di belakang)

Loading

image_pdfimage_print