Labuan 1 Mac – Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Raisin bin Saidin telah merasmikan bilik rehat “Rest & Relax” untuk guru-guru SKK SK Rancha-Rancha. Bilik ini diwujudkan bagi memberikan keselesaan dan keceriaan kepada guru.
Guru Besar, Norinnie binti Kassim berkata, sekolah mengambil inisiatif itu selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyarankan pihak sekolah mewujudkan ruang rehat kepada warga guru.
“Bilik rehat ini dapat digunakan guru yang mempunyai masa lapang setelah selesai menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Bilik rehat yang diusahakan oleh Kelab Staff SK Rancha-Rancha telah berjaya menyiapkan bilik rehat yang selesa untuk guru sekolah ini. Pengerusi Kelab Staff, Laidin bin Saipin berkata “kami bergotong-royong menyediakan bilik itu, menggubah dan menghias bilik agar kelihatan kemas serta ceria sepanjang masa”.
Raisin berkata berkata bilik rehat yang kondusif dan ceria mampu menyuntik semangat guru agar gigih bekerja mendidik anak bangsa sehingga berjaya.
“Tahniah saya ucapkan kepada warga SK Rancha-Rancha kerana dapat menyediakan bilik rehat guru yang kondusif dan ceria. Dengan adanya bilik rehat ini, guru dapat mengeratkan hubungan silaturahim, mesra kawan dan saling rasa hormat dengan rakan sejawat,” katanya.
Perasmian bilik tersebut sempena mesyuarat agung PIBG SK Rancha-Rancha yang berlangsung di Dewan terbuka SK Rancha-Rancha. Seramai 202 orang ibu bapa dan guru hadir pada mesyuarat tersebut. Turut hadir penolong kanan pentadbiran, Midah binti Yusop, penolong kanan HEM, Shawal bin Abd Rahman, penolong kanan ko-kurikulum, Zulkipli bin Pabin dan penolong kanan KPKP, Rodhy Edward Anak Edward Jalin.
Tertib acara diteruskan lagi dengan taklimat kesihatan oleh Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Dr Mohammad Hamim Mohammad Hanifah, dan seterusnya taklimat keselamatan murid oleh pegawai perhubungan polis sekolah, ASP Sukvinderjeet Singh A/L Chanan Singh dan taklimat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBD) oleh Guru Besar, Norinnie binti Kassim dan taklimat Inklusif & Zero Reject Policy oleh Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Khas, JPNWPL, Noraini binti Hj Sabudin. Turut hadir, pegawai angkat sekolah, Zaliha binti Mohd Salleh dan ibu angkat sekolah, Datin Hjh Dyg Pungut binti Abd Jalil. Mesyuarat telah membentangkan aktiviti dan perbelanjaan tahun 2019/20 dan usul ibubapa yang telah diedar melalui “Google form”.