Kunjung Bantu SPb Ke SMK Mutiara Capai Matlamat

Encik Mohd Nizam menyampaikan sijil penghargaan atas khidmat kunjung bantu kepada Encik Yusup

Labuan – SMK Mutiara telah menerima khidmat kunjung bantu daripada Sektor Pembelajaran (SPb), Jabatan Pendidikan W.P Labuan pada Jumaat lalu.

Kunjung bantu melibatkan 7 pegawai SPb telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad.

Dalam sesi kunjung bantu tersebut, pihak sekolah turut mengadakan sesi Dialog Prestasi Akademik dengan membentangkan data-data dan analisis berkaitan pencapaian calon-calon SPM 2020 dalam peperiksaan pertengahan tahun peringkat sekolah.

Pembentangan telah dibuat oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim, pengetua SMK Mutiara. Menurut beliau pencapaian calon-calon SPM 2020 masih rendah dan banyak aspek yang boleh ditambahbaik. Di samping itu, beliau turut membentangkan pelan-pelan intervensi bagi menangani isu-isu termasuk kehadiran murid.

“Pencapaian murid-murid banyak dipengaruhi oleh kehadiran mereka ke sekolah. Oleh demikian kita akan memperkasakan aktiviti-aktiviti PdP oleh guru-guru di dalam bilik darjah supaya kehadiran murid-murid mendapat manfaat maksimum” ujar beliau.

Encik Mohd Nizam turut menegaskan bahawa isu-isu berkaitan kehadiran dan disiplin akan ditangani bersama-sama dengan ibubapa murid supaya setiap tindakan dapat memberi impak terbaik.

Selain itu, keupayaan calon-calon SPM dalam mengolah ayat untuk item berbentuk struktur dan esei juga perlu diberi perhatian sewajarnya oleh guru-guru.

Pengetua sekolah membentangkan data dan analisis pencapaian calon-calon SPM dalam peperiksaan pertengahan tahun.
Cikgu Jostelen memberi penerangan tentang pemarkahan bagi kertas Sejarah SPM untuk makluman peserta dialog.

Dalam sesi dialog, Encik Yusup telah mengadakan sesi komunikasi dua hala bersama guru-guru Tingkatan 5. Guru-guru turut mengakui bahawa faktor kehadiran murid yang tidak konsisten adalah penyebab kepada pencapaian yang kurang memberangsangkan dalam kalangan calon-calon SPM 2020 terutamanya dalam dua mata pelajaran wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Guru-guru perlu sensitif dan prihatin terhadap perubahan tingkahlaku murid terutamanya murid-murid yang terkesan dengan pandemik Covid19. Kadang-kadang kita perlu memenuhi keperluan lahiriah mereka terlebih dahulu sebelum pengisian pembelajaran dapat dibuat dan memberi kesan mendalam kepada murid” kata Encik Yusup lagi.

Pegawai-pegawai SPb juga turut memberi idea dan saranan ke arah peningkatan prestasi murid dalam jangkamasa 3 bulan terakhir ini. SISC+ pula akan memberi bimbingan kepada guru dan murid sehingga ke dalam bilik darjah.

Pegawai SPb, Puan Murni turut memberi sumbangan idea dalam sesi dialog tersebut.

Pihak sekolah berasa berbesar hati atas kunjung bantu kali ini dan berharap keputusan dan rumusan daripada dialog ini akan diambil tindakan dalam tempoh segera demi kepentingan murid-murid.

Di akhir sesi kunjung bantu, pihak sekolah menyampaikan sijil penghargaan kepada Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan atas bantuan dan bimbingan yang telah diberikan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Para guru dan Pegawai SPb yang hadir semasa sesi dialog

Loading

image_pdfimage_print