Anak Jati Labuan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Baharu

Encik Yusup bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P. Labuan yang baharu menggantikan Puan Khaziyati binti Osman berkuatkuasa pada 1 Mac 2021.

Puan Khaziyati Osman pula akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Negeri Sabah berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Pelantikan pengarah negeri yang ke lapan ini telah diumumkan secara rasmi oleh Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) pada 1 Mac 2021. Sesi pertemuan telah dibuat secara maya kerana kekangan pandemic Covid-19.

Dalam pertemuan tersebut, Datuk Dr. Habibah sempat berbincang dan berkongsi pandangan bersama-sama Encik Yusup berkaitan perjalanan pembukaan semula sekolah bagi murid-murid Pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 di Wilayah Persekutuan Labuan.

KPPM juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini dan berharap agar amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan pendidikan.

Encik Yusup adalah anak jati Wilayah Persekutuan Labuan yang pertama dilantik sebagai Pengarah Pendidikan W.P.Labuan. Pelantikan ini telah merealisasikan harapan penduduk Labuan untuk melihat seorang anak watan negeri ini menjawat jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi di wilayah ini. Tambahan pula, Jabatan Pendidikan adalah agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

LAPOR DIRI… Encik Yusup menandatangani buku lapor diri di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan disambut oleh tiga Timbalan Pengarah iaitu Encik Abdul Rahman, Encik Mohd Nizam dan Puan Maimoon.

Encik Yusup adalah  anak kelahiran Kampung Patau-Patau 1. Beliau memulakan karier sebagai pendidik sebagai Guru Tingkatan 6 di SMK Labuan pada tahun 1993  sebelum dilantik menjadi Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun pada tahun 2001 pada usia 33 tahun. Semenjak itu beliau telah berkhidmat di beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah menjawat Pengetua SMK Pantai, IBWS dan SMK Lajau.

Kerjaya beliau berkembang selangkah lagi apabila dilantik sebagai SIPartner+ (Rakan Pembangunan Sekolah) pada tahun 2018. Atas kecemerlangan dalam perkhidmatan, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran pada awal tahun 2019 menggantikan Puan Norismah binti Hj Ab. Moin yang bersara wajib.

Pengalaman beliau yang pelbagai dan atas kecemerlangan pengurusan yang ditunjukkan, maka pada tanggal keramat 1 Mac 2021, beliau telah diperakui sebagai Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Labuan yang ke lapan.

Mengulas pelantikan ini, beliau melahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong kerjaya beliau dari dahulu sehingga ke hari ini. Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat terus bekerjasama bagi menjamin kecemerlangan pendidikan yang telah dirintis oleh pengarah-pengarah yang terdahulu.

“Keutamaan kita ialah bagi memastikan sistem pendidikan peringkat rendah dan menengah di wilayah ini dapat berkembang maju seiring dengan negeri-negeri yang lain dan kita tidak mahu ketinggalan di belakang. Kemudahan-kemudahan fizikal, infrastruktur dan modenisasi dalam pendidikan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa” kata beliau lagi.

Majlis serah tugas jawatan telah berlangsung pada 05 Mac 2021 secara dalam talian sesuai dengan amalan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19. Warga Jabatan Pendidikan W.P.Labuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan ini dan komited untuk terus menabur khidmat bakti setia demi menjamin kelangsungan kecemerlangan dan kemenjadian murid dan kualiti sekolah di Labuan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Majlis Sanjungan Budi mantan Pengarah Pendidikan Puan Khaziyati Osman secara maya. Menabur bakti selama 18 tahun di Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Tahniah di atas pelantikan sebagai Pengarah Institut Aminudin Baki (IAB) Negeri Sabah. Terima kasih atas segalanya. Jasamu sentiasa dikenang !

Loading

image_pdfimage_print