SMK Mutiara, W.P Labuan Menyebarluas Kepentingan Informasi Juvana Kepada Warga Sekolah

Istimewa, program bual bicara eksklusif yang bersifat ‘up close & personal’secara maya menerusi Program Bual Bicara : Cabaran dan Hukuman Salah Laku Juvana yang mengetengahkan pelbagai info mengenai salah laku juvana di kalangan pelajar di Malaysia

5 MAC 2021 – Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) dengan kerjasama Unit ICT SMK Mutiara telah menganjurkan sebuah program berbentuk rakaman temubual di bawah bidang perkhidmatan Unit Bimbingan dan Kaunseling yang berfokuskan kepada aspek peningkatan disiplin diri pelajar khususnya kepada warga di SMK Mutiara. Bual bicara informasi yang bertajuk ‘Cabaran dan Hukuman Salah Laku Juvana’ ini dipilih memandangkan pada masa kini  masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia terutamanya di peringkat bawah umur berada pada tahap yang semakin membimbangkan.

Bertitik tolak daripada kebimbangan inilah, satu inisiatif telah diambil oleh pihak sekolah dengan melibatkan perbincangan antara Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara bersama barisan pentadbir bagi mengetengahkan isu ini. Sesi temubual yang santai namun penuh dengan informasi ini merupakan langkah awal pihak sekolah dalam usaha membentuk sahsiah diri pelajar terutamanya di kalangan warga SMK Mutiara yang lebih berdisiplin dengan penerapan nilai-nilai murni. Secara tidak langsung melalui program ini, ianya juga dapat menyebarluaskan lagi maklumat secara holistik mengetahui impak dan akibat yang akan diterima dalam kehidupan sekiranya terlibat dalam salah laku juvana.

Program ini telah dijayakan dengan kehadiran seorang ahli panel jemputan iaitu ASP Haslina bin Hassan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah WP Labuan untuk memberikan kupasan dan pandangan berkaitan kes yang melibatkan pelajar sekolah manakala Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim, Kaunselor SMK Mutiara telah bertindak sebagai moderator dalam sesi bual bicara ini. Pemilihan ASP Haslina bin Hassan dalam program ini dilihat amat tepat memandangkan beliau merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah yang senantiasa memantau perkembangan isu disiplin yang berkaitan dengan pelajar di SMK Mutiara khususnya. Selari dengan norma baharu di sekolah, program ini telah dilaksanakan secara rakaman di Makmal Komputer Bestari SMK Mutiara di bawah seliaan Unit ICT. Rakaman program ini akan dipanjangkan ke semua platform dan saluran media sosial SMK Mutiara yang melibatkan ibu bapa dan pelajar SMK Mutiara supaya matlamat program ini untuk menyebarluaskan info yang telah dibincangkan di sepanjang sesi bual bicara ini dapat dihayati dan dijadikan peringatan kepada semua pihak.

Gambar kenang-kenangan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Mutiara, Encik Masri bin Ayong (paling tengah) bersama tetamu jemputan program bual bicara ASP Haslina bin Hassan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (dua kanan) serta kaunselor SMK Mutiara Puan Normaisaraf binti Ab Rashid (paling kiri) dan Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim (dua dari kiri).

Antara intipati di sepanjang bual bicara ini adalah kupasan mengenai salah laku juvana yang merujuk kepada salah laku yang dilakukan oleh remaja yang bertindak menyalahi undang-undang dan enggan menjalankan kewajipan sosial mereka. Masalah tingkah laku dan salah laku juvana ini merupakan terma yang memberi maksud yang sama, iaitu kumpulan yang menyalahi undang-undang dan mengganggu hak asasi manusia.  Antara faktor yang menyumbang kepada salah laku juvana dalam kalangan remaja adalah seperti kurang didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, pengaruh sosial serta pengaruh media yang sukar dikawal pada masa kini.

Dalam usaha membentuk pelajar SMK Mutiara agar lebih berwaspada dalam berhadapan dengan tingkah laku yang kurang baik, program ini telah berjaya direalisasikan dan diharap perkongsian yang diberikan ini dapat membantu melahirkan pelajar yang lebih berdisiplin untuk terus meningkatkan nama baik sekolah dan seterusnya memacu kejayaan dan kegemilangan di sekolah selari dengan tagline SMK Mutiara iaitu Mutiara Hebat Juara Terpahat. Kesedaran pelajar dalam pembentukan sahsiah terpuji ke arah kecemerlangan akademik serta berhati-hati dalam memilih rakan sebaya perlu diberikan perhatian oleh semua pihak demi kesejahteraan dan masa depan pelajar yang lebih baik. Perkongsian tentang bual bicara ini boleh ditonton di YouTube Channel, Unit ICT  SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan di pautan https://youtu.be/PWafR8aeHMg

Program bual bicara  ini boleh ditonton di YouTube Channel, Unit ICT  SMK Mutiara iaitu Bestari Vlog di pautan https://youtu.be/PWafR8aeHMg

Loading

image_pdfimage_print