Jabatan Pendidikan Labuan anjurkan Bengkel Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berkesan memerlukan kepada penambahbaikan berterusan. Setiap guru perlu berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran melalui pelbagai kaedah sesuai dengan situasi semasa.

Menyedari kepentingan ini, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengorak langkah untuk menganjurkan Bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah peringkat kebangsaan.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim merangkap pengurus program, bengkel empat siri yang bermula daripada 4 Mac sehingga 8 April ini telah mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai program peringkat kebangsaan. Bengkel melibatkan penyertaan seramai lebih 1600 orang daripada 16 buah negeri di seluruh Malaysia.

“Sesuai dengan situasi pandemic Covid-19 yang belum berakhir, kita telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan bengkel ini secara dalam talian sepenuhnya. Ini adalah satu sejarah bagi Labuan kerana buat pertama kalinya kita menganjurkan bengkel sebegini besar secara dalam talian”

“Oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga pendidik seluruh negara, kita menggunakan platform webinar untuk tujuan penyiaran. Selain itu, pasukan penyiaran (broadcaster) juga telah menggunakan pelantar maya seperti facebook live dan Youtube live bagi memastikan semua peserta mendapat akses kepada bengkel ini mengikut kesesuai masing-masing” kata beliau.

TEKNOLOGI…. Medium youtube live turut digunakan bagi memastikan setiap peserta mendapat akses terbaik kepada bengkel ini.

Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah telah diperkenalkan oleh Puan Suriani Alland Rice Oxley sejak tahun 2017. Beliau yang merupakan Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) telah berjaya mengharumkan nama Labuan dengan menjadi Naib Johan Inovasi dalam Konvensyen SISC kebangsaan pada tahun 2018 melalui inovasi Teknik 12 Langkah ini.

SURIANI ALLAND RICE OXLEY, Pencipta Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah

Bagi melicinkan perjalanan bengkel, seramai 12 jurulatih utama (JU) telah dilantik dan diketuai sendiri oleh Puan Suriani. Jurulatih akan membantu semua peserta dalam memahami Teknik 12 Langkah ini melalui bimbingan dalam lima saluran selari.

Bercakap semasa merasmikan bengkel ini, mantan Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Puan Khaziyati binti Osman berkata setiap guru perlu bersedia untuk terus meningkatkan kompetensi masing-masing.

“Kajian tindakan adalah platform terbaik bagi setiap warga pendidik meningkatkan prestasi PdP dengan membuat penambahbaikan berterusan. Warga pendidikan mesti bersedia untuk learn, unlearn and relearn bagi menjamin pengetahuan dan kemahiran pendidik sentiasa relevan dengan keperluan semasa” ujar beliau lagi.

Bangunan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) di Sungai Lada telah dijadikan pusat penyiaran bagi bengkel ini. Seramai 8 ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus bagi emmastikan perjalanan bengkel secara dalam talian ini berjalan lancar. Akses kepada bengkel ini boleh dicapai melalui laman https://sites.google.com/view/kolokium-kebangsaan-jpnwpl/utama dan saluran Youtube https://www.youtube.com/watch?v=SOzMX5ZOChk

BELAKANG TABIR, Sebahagian daripada ahli pasukan penyiaran bertungkus lumus memastikan penyiaran bengkel berjalan lancar.
BERJAYA, sebahagian daripada ahli jawatankuasa pelaksanan bengkel bergambar setelah selesai siri 1 semalam.

Loading

image_pdfimage_print