KAJIAN TINDAKAN MEMACU TRANSFORMASI PdP
105 Kertas Kajian Tindakan Dibentang

Sesi Kolokium 1 Kajian Tindakan Memacu Transformasi PdP

Labuan, 25 Mei – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berjaya menganjurkan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan Siri 2 pada 21 dan 22 Mei lalu. Bertemakan “Kajian Tindakan Memacu Transformasi PdP”, kolokium secara atas talian ini telah berjaya menarik sebanyak 105 kertas pembentangan daripada warga guru seluruh negara.

Menurut Penolong Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan , Puan Faridah Amit, kolokum ini adalah lanjutan daripada kolokium siri 1 yang telah diadakan pada 22 April lepas melibatkan semua warga guru dari seluruh negara.

“ Oleh kerana penyertaan yang sangat menggalakkan daripada para peserta, pihak urusetia telah menyediakan satu lagi platform perkongsian untuk memberi peluang perkongsian amalan PdP dalam kalangan guru demi kepentingan bersama. Sebanyak 3 sesi telah dibuka dalam talian secara selari untuk membolehkan kesemua 105 kertas kajian dibentangkan dalam masa 2 hari tersebut”. tambah beliau yang juga merupakan penyelaras kolokium.

Kejayaan penganjuran kolokium ini turut disokong oleh komitmen dan kerjasama padu oleh jurulatih-jurulatih Utama (JU) yang diketuai oleh Cik Suriani Alland Rice Oxley , pegawai SISC+ di Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

“ Saya sangat berpuashati kerana Teknik 12 Langkah ini telah berkembang ke seluruh negara. Ini adalah sumbangan ikhlas profesional saya sebagai tanda kebersamaan kita dalam tempoh negara sedang menghadapi pandemik Covid19”

“ Saya berharap agar guru-guru telah mendapat manfaat daripada perkongsian ini dan terus mengamalkan kajian tindakan untuk meningkatkan potensi dan kualiti PdP dari semasa ke semasa” tambah beliau lagi yang juga merupakan pencipta kepada Teknik 12 Langkah.

Sesi pembentangan oleh para peserta kolokium secara dalam talian
Encik Yusup Mohamad (atas kiri), Pengarah Jabatan W.P Pendidikan Labuan sedang merasmikan kolokium

Majlis penutupan kolokium telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup Mohamad. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan kolokium secara atas talian ini.

“Pendidikan pada waktu ini tidak terhad di dalam bilik darjah yang dikelilingi oleh 4 dinding semata-mata. Kita mesti sentiasa bersiapsiaga mengharungi cabaran dan perubahan di dalam dunia VUCA sekarang ini”

“Semua guru dan murid mesti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pendidikan digital yang telah menjadi teras penyampaian sistem pendidikan ketika ini. Ini selaras dengan tema sambutan hari guru tahun ini “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”, tambah beliau lagi.

Pengurus Program, Encik Mohd Nizam Yasim mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi Jabatan, Pengetua dan Guru Besar, semua petugas dan semua peserta atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan sepanjang kolokium ini berlangsung. Beliau yang juga Timbalan Pengarah Sektor Perancangan turut membayangkan Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah akan dilaksanakan lagi pada tahun akan datang atas sambutan yang di luar jangkaan tahun ini. 

Penyiaran kolokium ini telah dibuat melalui dua saluran siaran langsung iaitu Facebook Live dan Youtube Live. Ketua Pasukan Penyiaran, Puan Shamsuria Ebni menyatakan setakat ini jumlah pengunjung yang telah mengikuti kolokium di saluran Youtube telah mencecah angka sebanyak 17,000 tontotan dan terus meningkat dari hari ke hari.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Kolokium mendapat sambutan daripada peserta seluruh negara
Thubs Up : Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada urusetia dan semua pihak yang terlibat menjayakan Kolokium Kajian Tindakan Kebangsaan

Loading

image_pdfimage_print