Labuan, 21 Mei – Kunjung hormat Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri di Bilik Mesyuarat Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri diadakan pagi tadi dalam suasana penuh harmoni.
Kunjung hormat ini adalah bersempena pelantikan Encik Yusup Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2021 yang lalu.
Perbincangan berkaitan intervensi untuk memutuskan rangkaian covid-19 di sekolah menjadi agenda utama dalam pertemuan tersebut.
Rombongan dari Jabatan Pendidikan Labuan seramai 6 orang disertai Ketua Unit HEM, Haji Minggu bin Amat selaku penyelaras program, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Manusia, Encik Mohamad Khairul Hafiz bin Juni, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim.
Turut hadir Ketua Kaunselor Negeri, Encik Fazil @ Fadzil Bin Mohd Jamil dan Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaliha Binti Mohd Salleh.
Dalam pertemuan tersebut, Yusup menjelaskan KPI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu mengatasi sebaik mungkin daripada terjadinya kluster pendidikan di sekolah kawalan iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah juga tadika swasta yang berdaftar dengan KPM.
Menurut beliau, semua sekolah di Labuan beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP yang tinggi dalam usaha mengekang penularan covid-19.
“Sekiranya didapati ada murid yang positif covid-19, maka sekolah diarah tutup selama 2 hari. Pengetua dan guru besar perlu berhubung terus dengan JKN untuk mengadakan perbincangan bagi menganalisis risiko”. Katanya dalam pertemuan tersebut.
Pihak JPWPL juga berjaya menyelesaikan isu kepadatan murid di di dalam kelas dengan adanya perbincangan bersama pihak sekolah dan lembaga pengurusan sekolah.
“Sebanyak 27 kelas yang melebihi murid 35 orang. Untuk itu kita sedang memikirkan mekanisme untuk menangani kepadatan murid sama ada melalui penggiliran, pembelajaran 2 sesi dan sebagainya. Kita amat berharap tiada defesit pembelajaran di kalangan murid-murid”. Katanya lagi.
Terdapat sebanyak 26 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di W.P. Labuan. Daripada jumlah tersebut 11 buah sekolah beroperasi kurang 35 orang murid dalam satu kelas manakala 15 buah sekolah kritikal dengan jumlah murid yang melebihi 35 orang dalam sesebuah kelas.
Katanya lagi, kehadiran murid-murid ke sekolah juga tidak banyak bezanya semasa dan sebelum berlakunya pendemik covid-19. Ibu bapa begitu yakin menghantar anak-anak ke sekolah.
“Bagi mengekang penularan, pihak luar tidak dibenarkan masuk ke premis sekolah kecuali pekerja pembersihan dan pekerja binaan yang dibenarkan. Pegawai angkat sekolah turut membuat pemantauan secara mengejut bagi memastikan pematuhan SOP di sekolah. JPWPL juga sentiasa memantau penyuraian murid selepas sessi persekolahan” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JKN kerana memberi keutamaan dalam pemberian vaksin di kalangan warga pendidikan seramai 1365 orang sebagai “frontliner”. Daripada jumlah tersebut 86.96% telah menerima vaksin dose pertama.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Ismuni Bin Bohari merakamkan ucapan terima kasih di atas rombongan JPWPL ke JKN. Beliau turut menekankan tentang kesedaran guru terhadap pematuhan SOP.
“Bagi keselamatan guru-guru, saya amat menggalakkan guru memakai “face shield” di samping mask semasa mengajar. Sentiasalah menjaga penjarakan dan memakai mask sepanjang berada di sekolah. Saya juga mengharapkan agar pihak sekolah dapat menegur murid-murid yang berkumpul selepas selesai sesi persekolahan biarpun mereka berada di luar kawasan sekolah” katanya dalam majlis tersebut.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam