Program “Road Show Pengetua Bersama Waris dan Calon SPM 2021” Dapat Sambutan

Labuan, 29 Jun 2021 – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah melaksanakan program “Road Show Pengetua Bersama Waris dan Calon SPM 2021” yang bermula pada 23 Jun sehingga 29 Jun secara dalam talian melalui medium “google meet”. Perjumpaan secara dalam talian bersama waris dan calon SPM diadakan secara berperingkat yang melibatkan lima kelas tingkatan 5. Seramai 90 orang calon SPM 2021 hadir bersama-sama ibu bapa masing-masing dalam program tersebut. Turut hadir bersama dalam program ini adalah barisan pentadbir SMKTPB dan juga guru-guru mata pelajaran tingkatan 5.

Menurut Tuan Pengetua, En. Ag Rozlan bin Manan, objektif utama program ini adalah untuk memaklumkan kepada ibu bapa tentang sasaran pihak sekolah terhadap calon-calon SPM 2021. Menurutnya lagi, calon SPM 2021 merupakan calon yang istimewa kerana melalui norma pembelajaran yang baharu sejak tahun 2020. Mereka juga dianggap istimewa kerana menjalani proses PdPr sejak 2020 sehinggalah kini ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. Beliau amat berharap agar pandemik ini cepat berakhir bagi memastikan caloncalon SPM 2021 dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka. Untuk makluman, seramai 90 orang calon akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2021. Kehadiran ibu bapa dalam program ini amatlah diharapkan oleh pihak sekolah kerana dalam keadaan PdPr sekarang, ibu bapa dianggap sebagai tunjang utama dalam merealisasikan impian pihak sekolah untuk memastikan anak-anak hadir penuh dalam sesi PdPr. Tanpa sokongan ibu bapa, anak-anak sudah pasti akan tercicir dalam pembelajaran yang kini hanya berlangsung di rumah.

Dalam ucapannya juga, En. Ag Rozlan turut menjelaskan kepada ibu bapa bahawa pelaksanaan PdPr sememangnya tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka. Pembelajaran secara bersemuka membolehkan semua guru memberikan 100% tumpuan dan bimbingan kepada semua murid terutamanya murid yang masih lemah dalam penguasaan mana-mana mata pelajaran. Dapatan daripada kehadiran PdPr, sikap murid-murid yang tidak serius dengan PdPr merupakan langkah utama kepada pihak sekolah untuk melaksanakan program ini demi kepentingan anak-anak. Ibu bapa merupakan kekuatan dalam kejayaan pelaksanaan PdPr kerana anak-anak sepenuhnya berada di rumah. Beliau yakin dan percaya semua guru akan menggunakan pelbagai kaedah yang terbaik untuk memberikan bimbingan walaupun melalui PdPr.

            En. Ag Rozlan turut menjelaskan bahawa sepanjang pencapaian SPM 2018 sehingga SPM 2020, komitmen daripada ibu bapa amat membanggakan kerana sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dalam SPM. Hal ini terbukti apabila keputusan SPM sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin meningkat iaitu SPM 2018 (GPS 5.34), SPM 2019 (GPS 5.14) dan SPM 2020 (GPS 4.76). Semua calon SPM 2020 juga layak mendapat sijil kerana pencapaian 100% lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah. Peningkatan pencapaian ini jelas menggambarkan bahawa adanya kerjasama dan komitmen daripada ibu bapa dengan pihak sekolah. Adalah menjadi harapan pihak sekolah agar semua calon SPM 2021 memperoleh sekurang-kurangnya gred “C” dalam semua mata pelajaran untuk melayakkan mereka menempatkan diri ke peringkat seterusnya. Layak sijil untuk calon SPM ditentukan oleh dua mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah yang wajib lulus.

            En. Ag Rozlan juga menyampaikan amanat kepada semua calon SPM agar memanfaatkan masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran dan menggunakan sepenuhnya waktu pembelajaran secara PdPr. Murid-murid diminta untuk mengorbankan masa mereka pada tahun ini demi meraih kejayaan dalam SPM 2021. Baginya setiap orang yang bersuaha pasti akan berjaya. Guru-guru akan sentiasa bersedia untuk membimbing muri-murid walaupun secara PdPr.             Pada akhir ucapannya, beliau memberikan kata-kata semangat kepada semua murid dengan mengambil contoh empat golongan manusia untuk renungan bersama. “Pertama, orang yang rajin dan pandai pasti akan berjaya. Kedua orang yang pandai tetapi malas, hasilnya akan gagal. Ketiga, orang yang lemah tetapi rajin berusaha, juga pasti akan berjaya dan yang terakhir, orang yang lemah serta malas pasti akan mencipta kegagalan dalam hidupnya.” Harapan beliau agar ibu bapa sentiasa bersama dengan guru-guru dan pihak sekolah untuk memastikan kecemerlangan anak-anak dalam SPM 2021. Semoga Covid-19 cepat berakhir agar semua murid dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah

Kehadiran murid 5 Beta dan ibu bapa (23 Jun)
Kehadiran murid 5 Gamma / PVMA dan ibu bapa (25 Jun)

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print