Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 SMK Pantai IBWS

Ucapan perasmian Pengetua SMK Pantai IBWS, Puan Norazita Md. Nor @ Shamsuri

Labuan, 2 Ogos – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Sepakat Menabur Bakti 2021 dalam situasi norma baharu secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet pada 26 Ogos lalu.

Majlis itu melibatkan guru-guru baharu, guru-guru yang menjalani Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) yang kini dikenali sebagai Program Perantis Guru Sekolah, guru-guru yang berpindah, semua guru dan Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP).  Majlis tersebut merupakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian dan menggabungkan tiga buah majlis menjadi satu majlis istimewa khusus untuk meraikan semua guru baharu, guru ROS dan guru yang berpindah.

Objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk menghargai jasa guru-guru yang berpindah sepanjang berkhidmat di SMK Pantai IBWS. Selain itu, objektif lain untuk menghargai sumbangan dan jasa guru-guru yang berkhidmat di sekolah ini malah memupuk semangat menghargai dalam diri dengan pemberian ikhlas dari sudut sosioekonomi dan sahsiah persahabatan.

Ucapan guru-guru yang berpindah. Wan Azman bin Wan Abdullah (tiga dari kanan) dan Pawa anak Igai (dua dari kiri)
Penyampaian sijil penghargaan kepada guru yang berpindah.

Seterusnya, majlis tersebut juga bertujuan untuk meraikan guru-guru baharu dan guru pelatih sebagai ahli keluarga baharu SMK Pantai IBWS  serta mengeratkan lagi hubungan di antara guru baharu dengan staf SMK Pantai IBWS.

Terdahulu majlis pada petang itu dimulakan dengan bacaan doa di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah B Mohamad Ab Karim.

Pengetuanya, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan guru-guru baharu iaitu Puan Poh Pei Yi dan Puan Norlaila binti Ishak yang berpindah dari Kolej Vokasional Labuan.

Manakala, guru Mystep ialah Cik Nurul Hidayah binti Khairul Anuar dan Cik Hanisah binti Hassan. Guru pelatih terdiri daripada Cik Audrey Albertus (UPSI), Encik Syafiq Khalid (UPSI), Cik Helin Jakim (UPSI) dan Encik Mohamad Hanis bin Md Jol (UIAM).

Puan Norazita juga memberikan ucapan penghargaan kepada guru-guru yang berpindah iaitu Ustaz Wan Azman bin Wan Awang (Pengetua SMK Rancha-Rancha, W.P  Labuan), Puan Pawa anak Igai (SMK Asajaya, Samarahan), Puan Nurul Nadia Syafiqah binti Ag Othman (SMK Takis, Papar), Puan Rosmarini binti Mat Lazim (SMJK Tanah Putih, Kuantan) dan Puan Dg Ku Ramizah binti Ag Tangah (SM St. Francis Convent, Kota Kinabalu).

Beliau juga turut menyampaikan amanat kepada semua guru baharu dan guru yang menjalani ROS  agar menggunakan peluang bersama dengan warga SMK Pantai IBWS untuk menjalin kerjasama dan menimba pengalaman sebanyak yang boleh. Pada majlis itu juga, beliau menyeru kepada guru-guru baharu terutamanya supaya tidak membuat spekulasi berdasarkan pengalaman orang lain tetapi merasai pengalaman tersebut sendiri bagi mengelakkan persepsi yang negatif.

Seterusnya, majlis turut dimeriahkan dengan tayangan rakaman video untuk memperkenalkan guru-guru pelatih yang menjalani ROS, guru-guru yang baharu dan guru-guru yang berpindah. Dalam majlis itu juga, semua pentadbir diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan dengan membuat rakaman awal. Turut sama menyampaikan ucapan ialah wakil AKP dan pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah (KGKS). Majlis penyampaian sijil dan hadiah diadakan sejurus kemudian sebagai penghargaan kepada guru-guru yang berpindah.

“Sesungguhnya pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk mengadakan majlis seumpama ini kerana kemeriahannya tetap dirasai walaupun hanya diadakan secara maya. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada AJK Pelaksana yang diketuai oleh Puan Irmasuzila binti Ngopil atas kelancaran majlis tersebut. Hal ini bersesuaian dengan salah satu tag line sekolah iaitu sepakat membawa berkat. Saya berharap agar setiap program yang dijalankan akan mendapat kerjasama semua pihak pada masa akan datang” ujar pengetua lagi.

Berita Oleh : SMK Pantai

Antara peserta dalam Majlis Sepakat Menabur Bakti

Loading

image_pdfimage_print