Dialog Prestasi Berfokus Inisiatif Selesai Isu Operasi Sekolah

Encik Yusup sedang mempengerusikan sesi Dialog Prestasi Berfokus

Pengoperasian sekolah di dalam tempoh pandemik Covid19 telah memberi cabaran baharu kepada warga sekolah. Kekangan pertemuan secara bersemuka antara murid, guru dan pihak pentadbir menyebabkan banyak isu pengoperasian sekolah tidak dapat diselesaikan mengikut kelaziman.

Menyedari cabaran ini, Sektor Perancangan selaku peneraju inisiatif Program Transformasi Daerah di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan (JPWPL) telah menganjurkan sesi Dialog Prestasi bersama semua Pengetua dan Guru Besar baru-baru ini.

Dialog prestasi yang dilaksanakan secara dalam talian ini bertujuan untuk mendapatkan maklum balas berkaitan aktiviti-aktiviti pengoperasian di peringkat sekolah.

Sesi dialog kali ini memberi fokus kepada peranan aktiviti bimbingan dan kaunseling oleh Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) kepada murid dalam menangani cabaran pandemik Covid19.

Selain itu kluster perubahan peranan JPWPL berdasarkan penstrukturan baharu dalam memaju kecemerlangan organisasi turut diberi perhatian.  

Dialog Prestasi Berfokus kali pertama ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menekankan kepentingan Dialog Prestasi sebagai forum dua hala untuk menyemak kemajuan dan prestasi kerja buat organisasi berdasarkan data bagi memastikan hasrat, matlamat dan objektif organisasi dapat dicapai.

“Cabaran pandemik Covid19 perlu dilihat sebagai satu peluang untuk meneroka kaedah dan cara baharu untuk kita bertindak secara kreatif dan inovatif. Saya begitu berbangga kerana dalam tempoh ini semua Pengetua dan Guru Besar telah berjaya mengurus kelangsungan pengoperasian sekolah” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad

GBK di sekolah-sekolah telah berjaya melaksanakan peranan masing-masing dalam menangani pelbagai isu berkaitan murid terutamanya penyertaan mereka dalam sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Penyertaan murid di dalam PdPR di wilayah ini adalah sangat baik. Walau bagaimanapun kita perlu lebih berusaha untuk memastikan murid-murid terus komited mengikuti PdPR. GBK perlu terus berperanan terutamanya untuk meningkatkan motivasi mereka” ujar beliau lagi.

Pihak Jabatan Pendidikan akan terus berusaha untuk memastikan pengisian penuh jawatan GBK di semua sekolah supaya murid-murid berpeluang mendapat perkhidmatan dan aktiviti kaunseling secara lebih baik dan berkesan.

Selain itu, Encik Yusup juga mengucapkan terima kasih atas inisiatif KPM, GLC dan pihak sekolah dalam membekalkan peranti mudah alih kepada murid-murid daripada kategori keluarga B40 melalui program CERDIK.

Yang DiPertua (YDP) Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Encik Ismail Abdullah menyifatkan sesi Dialog Prestasi ini adalah sangat bermanfaat dan mampu meningkatkan kualiti pengurusan pihak sekolah.

“Dalam sesi sebegini, pihak sekolah dapat memaklumkan kepada pihak jabatan akan keperluan-keperluan pihak sekolah dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan di sekolah kekal relevan dan bermanfaat untuk setiap murid” kata beliau.

YDP MPSM Labuan, Ismail bin Abdullah

Penyelaras dialog, Encik Joehellmy bin Jumat yang juga Penolong Pengarah di Sektor Perancangan telah merumuskan dapatan daripada dialog ini untuk tindakan susulan bersama. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengetua dan guru besar yang telah menyertai sesi dialog secara aktif kali ini.

Penyelaras Dialog, Encik Joehellmy bin Jumat

Turut hadir dalam sesi dialog ialah timbalan-timbalan pengarah, ketua-ketua penolong pengarah dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print