Program Wira Anti Rasuah (WAR) SPRM-KPM Peringkat Negeri W.P. Labuan
Labuan – Bagi memperkukuhkan pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah yang berteraskan kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh selaras di bawah Inisiatif 2.4.6 & 2.4.11 Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023, Program Wira Anti Rasuah (WAR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia W.P.Labuan (SPRM) bersama rakan strategiknya Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah menganjurkan Pertandingan Video Pendek serta Pertandingan Lirik dan Lagu dengan tema Anti Rasuah dan Integriti baru-baru ini. Sebanyak 15 penyertaan dari kalangan sekolah rendah dan sekolah menengah telah mengikuti pertandingan tersebut.
Menurut Pengarah SPRM W.P. Labuan Mohd Yusizzudin Bin Mohd Yusof, Pertandingan Video Pendek Sekolah Rendah dan Menengah dan Pertandingan Lirik dan Lagu Sekolah Menengah Wira Anti Rasuah (WAR) SPRM-KPM Peringkat W.P.Labuan Tahun 2021 ini bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti murid-murid di samping menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi dan menanamkan sifat membenci serta menghindari rasuah menggunakan platform hasil karya video pendek, dan lagu supaya dapat dihayati dan memberikan kesan dalam kehidupan murid-murid.
Penjurian semua pertandingan ini telah dijalankan di Hotel Tiara pada Isnin 13 September 2021 yang lalu di mana barisan jurinya terdiri daripada PsK Augustine S. Manson @ David selaku ketua juri dan dibantu oleh Ps Sem Ajan, dan PkPs Kamal Bin Ag. Besar yang merupakan anggota SPRM W.P.Labuan serta Pn. Jasmini Daud SMK Rancha-Rancha, dan En. Romeno Suali SK. Kerupang. Menurut Augustine S. Manson @ David penyertaan kali ini sangat menarik di mana peserta makin kreatif dalam suntingan dan penyampaian mesej yang mereka persembahkan.
Bagi Pertandingan Lirik dan Lagu sekolah menengah, johan berjaya disandang oleh SSN SMK Mutiara dengan lagu mereka yang berjudul Jihad Perangi Rasuah. SMK Taman Perumahan Bedaun dengan judulnya Kita Wira Anti Rasuah tempat kedua. Manakala tempat ketiga disandang oleh SBT SM Sains dengan lagunya yang berjudul Rasuah Itu Nista.
Bagi Pertandingan Video Pendek Sekolah Rendah, Johan SK Pekan Satu dengan videonya yang bertajuk Parasit. Naib Johan SJK C Chi Wen. Tempat Ketiga, SK Pekan Dua. Keputusan Pertandingan Video Pendek sekolah menengah pula, Johan SMK Rancha-Rancha dengan videonya yang bertajuk Rasuah Dalam Pekerjaan. Naib Johan SBT SM Sains dan tempat ketiga SMK Taman Perumahan Bedaun.
Penyelaras pertandingan pada kali ini adalah PPs. Abang Azlanshah bin Abang Saufee SPRM bersama Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid En. Samsul bin Mandisin. Menurut Samsul, pertandingan sebegini dapat membentuk dan membudayakan nilai antirasuah dan integriti di kalangan murid-murid di peringkat sekolah rendah dan menengah agar lebih bertanggungjawab demi membangunkan negara yang berintegriti dan bebas dari salah laku rasuah, justeru menjadi role model kepada masyarakat awam. Bukan saja mengukuhkan keyakinan masyarakat terutamanya guru, murid dan ibu bapa terhadap kebebasan, ketelusan dan profesionalisme SPRM dalam mencegah salah laku rasuah dan juga meraih keyakinan seterusnya menyokong usaha SPRM. Malah dapat mencetus keterujaan dalam kalangan murid-murid sekolah rendah dan menengah terhadap usahasama dengan SPRM dari aspek pencegahan rasuah di Malaysia.
Semua Johan dan Naib Johan bagi setiap kategori pertandingan di peringkat negeri ini dengan sendirinya terpilih dan akan mewakili W.P. Labuan ke peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 17 September 2021.
Berita Oleh : Unit Pembangunan Bakat Murid