Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Hari Malaysia Peringkat SK Sungai Bedaun Tahun 2021 Penuh Pengisian Bermakna

Pandemik COVID-19 ternyata tidak menghalang warga SK Sungai Bedaun untuk meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, keseluruhan aktiviti peringkat sekolah pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian yang telah dilancarkan pada 19 Ogos lalu.

Guru Besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg. Sarifah A. Mahmod sewaktu majlis pelancaran berkata semoga dengan pelaksanaan program ini dapat menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan warga SKSB selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Majlis Bacaan Yassin dan Doa Kesyukuran, Pertandingan Deklamasi Sajak Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Cabaran TikTok Pantun Hari Malaysia, Cabaran STEM Bina Mercu Tanda Negaraku, Pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik, Pertandingan Foto Kreatif: Tiru Gaya Pejuang Kemerdekaan, Pertandingan Infografik Identiti Negaraku, Pertandingan Laporan Kajian Kes Sejarah dan Senam Ceria di Hari Malaysia. Kesemua aktiviti yang dirancang menggabung jalinkan nilai patriotik dan elemen STEM yang mampu mengasah daya kreativiti anak-anak SKSB biarpun berada dirumah.

Menurut penyelaras Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 peringkat SK Sungai Bedaun, Encik Mohd Asyraf bin Abd Hamid, program yang dilaksanakan dalam tempoh sebulan ini telah mendapat sokongan padu baik daripada guru-guru mahupun ibu bapa dan murid sekolah tersebut. Ini adalah kunci kepada kejayaan pelaksaan sambutan kali ini.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah (Unit Sekolah Khas) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Puan Rina@Farrina binti Dakim. Beliau yang juga merupakan pegawai angkat sekolah berkenaan merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan pelaksanaan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Dalam pada itu, SKSB turut berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang dan Pencahayaan Pada Bangunan Sekolah bagi kategori sekolah rendah sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Jabatan Pendidikan W.P Labuan tahun 2021. Bagi pertandingan Memperagakan Pakaian Patriotik Secara Rakaman Video pula SKSB tidak pulang dengan tangan kosong apabila dua orang murid tahap 1 iaitu Hadi Nashrullah bin Haidi dan Nuraneesa Husna binti Muhadi masing-masing telah mendapat Johan dan tempat Ketiga bagi kategori lelaki dan perempuan.

Puan Dg. Sarifah menyifatkan ini adalah satu kejayaan berganda dan bermakna buat seluruh warga SKSB atas usaha padu yang dicurahkan dalam pertandingan kali ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun