Warga SMExcel Berjaya Tawan Puncak Kinabalu

Labuan, 7 Februari 2022 – Seramai 20 orang warga SM Sains Labuan (SMSL)  berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari 2022. “Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila. Kata Rohana Yasin selaku ketua delegasi SMSL yang turut disertai oleh guru-guru, staf dan juga ibu bapa sebagai wakil PIBG. Kumpulan pendaki SMSL ini juga dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE).

Menurut  Rohana, program pendakian ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga SMSL dan dalam masa yang sama program ini memberi peluang kepada pendaki yang terlibat untuk melihat keindahan Gunung Kinabalu.

Berkongsi pengalamannya, Rohana berkata, mereka telah menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut.  Program ini telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari dan  tiba di Panalaban pada jam 4 petang . Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2:00 pagi dan tiba di puncak pada jam 6:00 hingga 7:00 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.

Katanya, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, cuaca hujan menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu dan pelbagai cabaran lain. Namun semua cabaran dan halangan tersebut dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.