JPWPL Menganjurkan Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Munajat Dengan Jalinan Kerjasama SSN SMK Mutiara Sebagai Tuan Rumah.

Labuan,15 Mac 2022 – Sebagai satu usaha meningkatkan penghayatan Al- Quran, dan memohon pertolongan dari Allah SWT untuk keselamatan serta kemudahan semua calon SPM dan STPM 2021 W.P Labuan, Panitia Pendidikan Islam SSN SMK Mutiara bersama Unit SPI JPWPL telah mengadakan bacaan Yassin dan Doa Munajat warga pendidik secara atas talian. Program ini disertai oleh semua guru di W.P Labuan, warga JPWPL, PIBG dan sebahagian murid-murid SSN SMK Mutiara. Program bacaan Yassin dan Doa Munajat ini, dilaksanakan pada setiap malam dengan jalinan kerjasama sekolah-sekolah di W.P Labuan mengikut giliran yang telah ditetapkan oleh unit SPI JPWPL.

Objektif majlis ini dilaksanakan, sebagai tanda sokongan dan kebersamaan warga pendidik, dalam mendoakan calon-calon peperiksaan SPM dan STPM supaya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan mudah, seterusnya beroleh kejayaan yang cemerlang. Di samping itu, warga pendidik turut mendoakan keselamatan, kesihatan dan perlindungan untuk calon SPM dan STPM, serta semua petugas dari sebarang bahaya dan musibah covid- 19.

Majlis Yassin dan Doa Munajat dikelolakan sepenuhnya oleh murid yang dipengerusikan oleh Adik Shamira daripada kelas 2 As Syafie. Manakala bacaan Yassin di ketuai oleh Adik Mohd AkifSyafie bin Hamzah juga dari kelas yang sama. Bacaan doa Munajat dipimpin oleh Adik Ahmad Dinie bin Bakri dari kelas 4 As Syafie. Mereka terdiri daripada murid-murid Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara. Uniknya, majlis pada malam ini, menampilkan seorang Daie muda berbakat yang menyampaikan tazkirah berkenaan Bulan Ramadhan yang bakal tiba. Beliau ialah Adik Dinca Al Fansia bin Omar Khayyam Ansari dari kelas 3 Juara.

Adik Shamira daripada kelas Aliran Agama 2 As-Syafie, mempengerusikan Majlis Yassin dan Doa Munajat pada malam ini.

Dalam ucapan aluan yang di sampaikan oleh Pengetua SSN SMK Mutiara Encik Ag. Rozlan bin Manan, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam atas kejayaan program malam ini, kerana berjaya mencungkil bakat murid dan seterusnya beliau berharap agar calon SPM 2021 memperoleh keputusan yang cemerlang.

Pada akhir majlis, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya bin Ahmad Puteh menyatakan,  bahawa aspek kemenjadian murid merupakan satu kejayaan yang dapat dilihat kerana kesungguhan ibu bapa dan guru yang hebat, dalam membentuk anak-anak ini. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada murid-murid tersebut, ibu bapa dan warga SSN SMK Mutiara atas pelaksanaan majlis pada malam ini.

Program ini disertai oleh warga guru di WP Labuan, warga JPWPL, PIBG dan sebahagian murid-murid Smk Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara