SMK Pantai Catat Keputusan Terbaik Dalam Tempoh 6 Tahun
Labuan, 17 Jun – SMK Pantai telah mencapai keputusan terbaik dalam tempoh 6 tahun setelah mencapai peratus lulus 96.55% berbanding 92.66% tahun 2020 yang telah diumumkan kelmarin.
Lonjakan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 4.44 tahun 2021 berbanding 5.34 pada tahun sebelumnya.
Begitu juga dengan pencapaian murid yang mendapat keputusan 6A menunjukkan peningkatan ketara kepada 18 orang berbanding 5 orang pada tahun 2020.
Setelah 3 tahun tiada calon yang mendapat semua A, Evania Liew Hui Chen telah dinobatkan sebagai murid terbaik SPM tahun 2021 SMK Pantai dengan mendapat keputusan cemerlang 9A+.
Pengetua SMK Pantai Encik Ismail bin Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada mantan pengetua SMK Pantai Encik Sahar bin Misron dan Puan Norazita Md Nor yang telah memimpin guru, murid dan staf SMK Pantai dengan cemerlang.
Menurut Encik Ismail, beliau hanya sempat 2 bulan bersama calon-calon SPM 2021 sejak memulakan tugas pada 7 Februari 2022. Beliau cuma sempat menyumbang semangat, motivasi saat akhir, sentuhan psikologi dan doa yang berterusan.
Ucapan tahniah juga kepada semua guru, PIBG, ibu bapa dan warga SMK Pantai sehingga mencapai keputusan cemerlang ini.
Encik Ismail berazam bersama guru-guru dan warga SMK Pantai meneruskan usaha untuk memastikan kecemerlangan ini berterusan.
Murid cemerlang SPM 2021 SMK Pantai iaitu Evania Liew Hui Chen merupakan seorang murid yang cemerlang dan seimbang dalam pencapaian kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.
Selama bersekolah di SMK Pantai (2017-2022) pelbagai kejayaan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa telah dicapai berkat disiplin, komitmen dan ketekunan yang sangat tinggi.
Beliau pernah mendapat Johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah peringkat Negeri dan Kebangsaan pada tahun 2017. Beliau juga pernah menyertai program pengantarabangsaan Kulinari di Sekolah Tinggi Pariwisata, Bandung Indonesia tahun 2017.
Dalam pertandingan Bicara Buku Kategori Bahasa Inggeris Sekolah Menengah tahun 2021, beliau telah mendapat tempat pertama di peringkat negeri dan meraih tempat keempat di peringkat kebangsaan pada tahun yang sama.
Antara pencapaian-pencapaian beliau yang lain adalah seperti Johan Pertandingan Perbarisan MSSM WPL 2018, Johan Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Secara Rakaman Video Acara Masakan Rimba Peringkat Negeri 2021, Tempat ketiga Pertandingan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2021, Tempat Pertama Anugerah TEKNOPEN 2021 : Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah Menengah Peringkat Negeri W.P Labuan 2021, Tempat Pertama Pertandingan First Aid Challenge Peringkat Negeri W.P Labuan 2021 dan menyertai Pertandingan Grow Rimba Anjuran Kelab Duta Rimba Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan.
Berita Oleh : SMK Pantai