TKPPM lakukan lawatan kerja ke SMK Labuan
Labuan, 28 Jun – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (TKPPM), Sektor Dasar dan Kurikulum, Dato’ Pkharuddin bin Ghazali telah meluangkan masa membuat lawatan kerja ke SMK Labuan pada Khamis lalu (23 Jun).
Rombongan TKPPM seramai 15 orang tiba di perkarangan sekolah tepat jam 7.00 pagi telah disambut oleh Pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam Yasim dan barisan Penolong Kanan.
Dato’ Pkharuddin telah dibawa melawat beberapa kelas termasuk kelas Tingkatan 6, koperasi sekolah dan Bilik Bimbingan dan Kaunseling.
Tujuan utama lawatan ialah untuk meninjau pelaksanaan inisiatif Sekolahku SEJAHTERA yang telah dilancarkan di peringkat KPM sejak Februari lalu.
Dalam sesi lawatan, TKPPM telah berinteraksi dengan murid-murid dan guru dalam memastikan 14 nilai kehidupan dalam elemen SEJAHTERA difahami dan dihayati oleh seluruh warga sekolah.
“Pihak KPM berharap agar nilai SEJAHTERA dapat diterap dan diamalkan di dalam diri seluruh warga SMK Labuan dan seterusnya membentuk nilai dan budaya dalam kehidupan seharian” kata beliau ketika di wawancara oleh pemberita cilik TVPSS.
Di akhir lawatan beliau sempat menandatangi sepanduk Sekolahku SEJAHTERA sebagai simbolik pelancaran di peringkat sekolah.
Turut menyertai rombongan ialah Timbalan Pengarah Kanan BPSH, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh.
Berita Oleh : SMK Labuan