SMK Rancha-Rancha Naib Johan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021
7 Julai 2022 – Bukit Kiara, Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2021 (DUTA) telah berlangsung dengan jayanya. Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menjadi pelaksana utama penganjuran program. Penganugerahan DUTA 2021 dalam pelbagai kategori ini merupakan pengiktirafan kepada warga pendidikan yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam menjayakan inovasi pendidikan digital.
Pada majlis yang berlangsung , SMK Rancha-Rancha telah mencipta sejarah untuk Jabatan Pendidikan Labuan atas kejayaan menjadi Naib Johan Pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021. Pada tahun ini, anugerah telah disampaikan secara bersemuka untuk setiap kategori termasuklah Anugerah Pusat Sumber Sekolah.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia iaitu Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin .Sewaktu ucapan beliau berkata
“ penganugerahan sebegini dapat menjadi pemangkin ke arah pembudayaan inovasi pendidikan digital dalam kalangan murid dan guru. KPM sentiasa berusaha untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara, khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global. Dalam konteks ini, inovasi dalam pedagogi perlu terus dipertingkat dan diperluas bagi mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dan berpusatkan murid serta bersesuaian dengan keadaan semasa. KPM terus komited untuk memastikan hala tuju pendidikan negara kekal relevan, kompetitif dan sejajar dengan dasar-dasar Kerajaan, kehendak industri serta keperluan semasa ”.
Sebelum diumumkan masuk 5 terbaik dalam pertandingan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2021, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah dinilai bersama 13 buah wakil negeri dan 3 wilayah seluruh Malaysia oleh panel hakim yang berwibawa. Penilaian kedua berlangsung pada 10 November 2021.
Pengetua SMK Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang mengulas sedikit tentang tema majlis pada hari itu berkata “ Pembangunan bakat dan modal insan dalam ekonomi digital memerlukan persiapan generasi murid kalis masa hadapan yang fasih digital dan berupaya menghadapi apa jua cabaran di era teknologi disruptif. Oleh yang demikian, budaya inovasi dalam kalangan murid perlu dipupuk agar mereka bersedia untuk mendepani perubahan sejajar perkembangan teknologi global. DUTA juga memperkukuh konsep Sekolahku SEJAHTERA yang bermatlamat melahirkan generasi muda pewaris negara yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia. Kesemua elemen yang diterapkan dapat memupuk tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran serta memperkaya nilai-nilai yang terkandung di dalamnya, dalam usaha melonjakkan pendidikan berkualiti, mengangkat negara berstatus negara maju serta berpendapatan tinggi dan meletakkan Malaysia di persada dunia
Keputusan penuh Anugerah Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan 2021 adalah seperti berikut Johan SMK Agama Miri Sarawak, Naib Johan SMK Rancha-Rancha, Ketiga SMK Batu Rakit Terengganu, Keempat SMK Tawau Sabah dan Kelima SMK Tunku Mahmood Iskandar Johor.
Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha selaku perancang utama misi kejayaan PSS DSDN SMK Rancha-Rancha Cikgu Sapri bin Idris berkata “ saya amat bersyukur atas kejayaan pada kali ini. Alhamdulillah, semoga kejayaan yang dicapai akan menguatkan semangat saya untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada pelajar di SMK Rancha-Rancha. Saya juga berharap kejayaan ini akan dapat dijadikan motivasi dan inspirasi kepada GPM di W.P Labuan yang memiliki semangat untuk memajukan diri dan membangun kapasiti intelek mereka melalui kerjaya sebagai guru perpustakaan dan media.
Terima kasih buat keluarga, penaung PSS iaitu Datuk Seri Datin Hajah Norsiah Abdullah, Mantan Pengetua Haji Omar Baki bin Matusin, En Yahya bin Ahmad Puteh, Pengetua sekolah Ustaz Wan Azman bin Wan Awang dan rakan sejawat yang selama ini banyak menyokong dan membantu saya. Tidak lupa juga kepada semua pengawas PSS saya yang menjadi tulang belakang saya selama ini yang banyak banyak membantu saya merealisasikan kejayaan sekolah SMK Rancha-Rancha. Semoga Allah SWT membalas jasa baik kalian dengan ganjaran kebaikan, insya-Allah
Anugerah Pusat Sumber Sekolah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan khususnya kepada Guru Perpustakaan dan Media atas kecemerlangan melaksanakan pengurusan PSS dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital. Pemberian pengiktirafan dalam bentuk anugerah kecemerlangan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan KPM dan kerajaan dalam menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran, kemenjadian guru serta murid, pembangunan bakat dan modal insan serta memupuk budaya inovasi yang berterusan. Pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi serta inovasi dalam bidang pendidikan adalah seiring dengan hasrat KPM untuk melengkapkan generasi masa hadapan dengan kemahiran teknologi.