Labuan – Seramai 25 orang pensyarah dan kakitangan Institut Perguruan Guru Kampus Keningau Sabah daripada Jabatan Pembangunan Latihan dengan Kerjasama Unit Pusat Sumber IPGKK telah mengadakan Penanda Aras ke Pusat Sumber Sekolah DSDN SMK Rancha-Rancha pada 14 Julai 2022 lalu.
Menurut Ustaz Wan Azman Wan Awang, Pengetua SMK Rancha-Rancha , lawatan penandaarasan IPG Kampus Keningau pada kali ini adalah berfokus untuk mengenalpasti, mempelajari, mengubahsuai dan melaksanakan amalan-amalan terbaik daripada Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha. Pemilihan Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha adalah sangat tepat kerana ia mempunyai rekod dan pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan pusat sumber sekolah samada di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. En Shamrin bin Surip Ketua Jabatan Pembangunan Latihan IPGKK berkata ketika membuat ucapan katanya,
lawatan ini adalah untuk perkongsian pintar, menggerakkan sekolah serta institusi mengamalkan konsep pembelajaran setiap masa. Dengan mempelajari dari pihak lain, sesebuah institusi seperti sekolah akan dapat menyedari tentang kelemahan dan kekurangan diri sendiri dan seterusnya berupaya untuk melaksanakan penambahbaikan. Proses pembelajaran ini akan menentukan bahawa usaha penambahbaikan sentiasa dilakukan.
Ketibaan rombongan tersebut yang diketuai oleh Dr Saidah Khadijah Ahmad , Ketua Jabatan Agama Islam dan Moral ( menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengarah ) IPG Kampus Keningau Sabah, telah disambut oleh pentadbir sekolah, AJK Pusat Sumber serta pengawas pusat sumber sekolah.
Ketika membuat ucapan balas, Dr Saidah Khadijah Ahmad berkata , melalui lawatan ini diharap IPGKK Sabah dapat membantu sekolah meningkatkan kepakaran dalam sesuatu proses kerja dan dapat pula mewujudkan satu sistem perkongsian maklumat bersama di antara IPGKK dengan SMK Rancha-Rancha. Ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Kami akan mempelajari amalan-amalan yang lebih baik manakala SMK Rancha-Rancha akan lebih memahami tentang operasi dan prestasi sekolah sendiri.
Dalam sesi lawatan tersebut, ahli rombongan telah ditayangkan video tentang Pusat Sumber Sekolah. Turut disampaikan adalah taklimat mengenai Pusat Sumber Sekolah dan kejayaan PSS DSDN SMKRR sepanjang tahun 2020 hingga 2021. Taklimat tersebut disampaikan oleh Claudius Upin Longsiong JR.
Majlis menandatangai sijil Program Membina Kerjasama dan Jalinan Bersama di antara SMK Rancha-Rancha dan Institusi Perguruan Guru Kampus Keningau Sabah turut diadakan selepas perkongsian pengurusan pusat sumber sekolah di Bilik Mesyuarat Utama SMK Rancha-Rancha. Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pusat Sumber Sekolah di tempat masing-masing.
Para peserta rombongan telah dibawa meninjau ke bilik-bilik khas PSS DSDN. Antara bilik-bilik khas yang dibawa melawat adalah Studio Ranchas TV, Bilik NILAM Lounge, Perpustakaan Multimedia, Bilik Rakaman dan Tayangan serta Konti Ranchas FM. Di pusat sumber DSDN SMK Rancha-Rancha, peserta rombongan telah diberi penerangan ringkas oleh pengawas pusat sumber sekolah yang bertindak sebagi duta SMK Rancha-Rancha. Rata-rata peserta rombongan berasa sangat kagum akan pengurusan serta inovasi yang telah dibuat di PSS DSDN SMK Rancha-Rancha.
Cikgu Sapri Idris selaku Guru Perpustakaan dan Media Sekolah berkata , sudah tiba masanya jalinan yang lebih luas dilakukan oleh PSS DSDN SMK Rancha-Rancha bersama institusi pendidikan dalam serta luar negara. Kami mempuyai fasiliti serta kepakaran yang boleh diserap ke dalam pengurusan sumber. Sebagai hab transformasi minda komuniti, jalinan seperti ini sangat membantu SMK Rancha-Rancha mencapai objektif serta matlamat yang dihasratkan. Saya juga yakin , SMK Rancha-Rancha melalui pengurusan pusat sumber sekolah akan menjadi sebuah sekolah yang cemerlang di peringkat kebangsaan dengan memberi fokus kepada kecemerlangan akademik serta kemenjadian skil pelajar-pelajarnya.