Labuan, 3 Nov – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) bersama-sama dengan SMA MAIWP telah menganjurkan Program Perkampungan Ilmu Sifar Gagal Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2022 yang berlangsung pada 27-28 Oktober 2022 (Khamis-Jumaat) dan bertempat di Kompleks Darul Kifayah.
Program Perkampungan Ilmu dan Sifar Gagal (Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2022) pertama kalinya diadakan yang melibatkan semua sekolah-sekolah menengah di Labuan yang diadakan secara bersemuka dengan seramai 234 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang terpilih.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada calon SPM 2022 teknik ilmu dan Sifar gagal dalam kedua-dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah yang merupakan mata pelajaran wajib lulus sebelum menduduki Peperiksaan SPM yang akan bermula pada pertengahan Februari 2023. Hari pertama 27 Oktober 2022 diadakan untuk bengkel mata pelajaran Bahasa Melayu dan hari kedua pula untuk mata pelajaran Sejarah.
Penceramah jemputan untuk Bengkel Teknik Menjawab Bahasa Melayu SPM adalah Guru Cemerlang Bahasan Melayu Maktab Sultan Ismail Kelantan, Mohamad Shaharudden Mohamad Kalam manakala penceramah jemputan untuk Bengkel Teknik Menjawab Sejarah adalah Guru Cemeralng Sejarah SMK Elopura 2 Sandakan Sabah, Shamsudin Frans @ Junaiddi.
Turut hadir dalam program ini ialah pengetua SMA MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin, Penolong kanan SMK Taman Perumahan Bedaun selaku wakil pengetua, Puan Chai Yee San, Guru Kanan Bidang serta guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah setiap sekolah yang terdapat di Labuan. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKTPB, Encik Haider Hussein Mohammad Rashid turut hadir memberi sokongan pelaksanaan program ini.
Pengetua SMA MAIWP, Encik Mohd Hasnizan Hasin dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan penceramah dan kata-kata motivasi kepada calon-calon SPM yang terlibat dalam bengkel ini.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya Ahmad Puteh telah mewakili pengarah Pendidikan merasmikan program Perkampungan Ilmu Sifar Gagal ini.
Dalam ucapannya, beliau memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar agar terus berusaha dan bersemangat untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan Percubaan SPM yang akan berlangsung dalam bulan November ini dan juga sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM 2022.
Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai target masing-masing dalam SPM menjadi pelajar cemerlang.
Encik Yahya juga turut megharapkan agar murid-murid dapat hadir penuh ke sekolah semasa menjawab peperiksaan percubaan agar dapat mencapai target mereka dan tidak ketinggalan dalam mana-mana mata pelajaran.
Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri amat yakin dengan pihak sekolah yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memastikan pencapaian semua calon SPM 2022 layak memperoleh sijil SPM kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa SMKTPB pernah mencapainya.
Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM 2022 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing. Tamat.
Berita oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun