Kursus Kepimpinan Kokurikulum Lahirkan Pemimpin Masa Hadapan
Labuan, 14 April – Unit Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kokurikulum kali ke-7 bagi tahun 2023. Program ini berlangsung secara bersemuka di Dataran Bedaun SMK Taman Perumahan Bedaun.
Seramai 84 orang murid terlibat dalam program ini yang terdiri daripada AJK Tertinggi kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta persatuan badan beruniform. Objektif program ini adalah untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada murid yang memegang jawatan tertinggi dalam kelab dan persatuan untuk mengurus sesuatu organisasi yang mereka ceburi di sekolah.
Program yang bermula pada jam 2.00 petang, dimulakan dengan sesi pendaftaran murid yang terlibat yang dikendalikan oleh Encik Yusri dan Encik Yee Choon Hian. Setelah itu, program dilanjutkan dengan pembahagian aktiviti kepada dua slot iaitu slot 1 merupakan penekanan terhadap kepentingan PAJSK kepada setiap murid dan juga kepada sekolah secara umum yang di sampaikan oleh Encik Yee Choon Hian selaku Penolong Kanan Kokurikulum SMKTPB yang juga merupakan pengerusi program kepimpinan.
Manakala slot 2 pula merupakan aktiviti Team Building “Paper Clips versus Our Minds” yang dikelolakan oleh Penyelaras Program iaitu Encik Mustaffa Bin Mohammad. Program ini diharap dapat membantu guru penasihat dalam mengurus aktiviti kokurikulum di samping melahirkan generasi yang berkepimpinan bukan sahaja semasa berada di sekolah bahkan dapat dipraktikkan setelah tamat persekolahan.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMKTPB, En Yee Choon Hian yang juga dalam ucapannya mengharapkan agar murid-murid yang telah dilantik menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan dapat memainkan peranan masing-masing sebagai pemimpin khususnya di dalam Kelab dan Persatuan.
Tegasnya, kecemerlangan diri seseorang murid dapat dilihat menerusi pelibatan dalam aktiviti kokurikulum yang akan menyumbang kepada aspek pembinaan sahsiah diri, kepimpinan dan kecemerlangan akademik. PK Kokum turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan murid-murid yang telah diberikan kepercayaan untuk menjadi AJK Induk Kelab dan Persatuan.
Sejurus tamat ucapan PK Kokum, program ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama dengan Penolong Kanan Kokurikulum, AJK Induk Unit Kokurikulum dan murid-murid yang terlibat dengan kursus kepimpinan ini.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun