Kem Kepimpinan Dan Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Meningkatkan Kemahiran Insaniah Murid

LABUAN, 17 Mei 2023 – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Unit Bimbingan dan Kaunseling, Unit Disiplin Sekolah, Unit Pusat Sumber Sekolah dan guru penyelaras tingkatan telah berkolaborasi menjalankan Kem Kepimpinan dan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda sesi 2023/2024.

Kem kepimpinan dan watikah pelantikan yang diselaras oleh, Viviana Ayu Saidin, bertujuan untuk mengiktiraf jawatan pemimpin muda sekolah. Selain itu, kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan motivasi barisan pemimpin muda sekolah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin muda di sekolah.

Kem kepimpinan pemimpin muda dijalankan pada 11 Mei 2023 dan 12 Mei 2023. Terdapat tiga slot ceramah diadakan semasa hari pertama kem iaitu slot “Ice Breaking”, slot disiplin dan slot penampilan diri pemimpin muda. Slot bidang tugas pengawas sekolah, slot bidang tugas pembimbing rakan sebaya, slot bidang tugas pengawas pusat sumber dan slot bidang tugas ketua kelas dan penolong ketua kelas dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan. Disamping itu, raptai watikah pelantikan juga dijalankan pada hari kedua kem kepimpinan.

Watikah pelantikan pemimpin muda dijalankan pada 15 Mei 2023, isnin, 7.00 pagi hingga 7.30 pagi, bertempat di Dataran Bedaun sekolah. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Pengacara majlis adalah Nurul Izzatie binti Abdullah, manakala Shafizul bin Jainal, daripada kelas 4 Beta memimpin bacaan doa. Seterusnya, barisan pemimpin muda melafazkan ikrar pemimpin muda dengan diketuai oleh ketua pengawas sekolah, Jericho Adree bin Josnih @ Joseph.

Pengetua, Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, menyerahkan sijil watikah pelantikan pemimpin muda kepada wakil pengawas sekolah iaitu Jericho Adree bin Josnih @ Joseph, wakil pembimbing rakan sebaya, Mohammad Firdaus bin Mamat, wakil pengawas pusat sumber, Muhd Norazwandy Adha bin Norazlan dan wakil ketua kelas serta penolong ketua kelas, Jelvan bin Justin dengan diiringi oleh guru Penolong Kanan pentadbiran, Chai Yee San. Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Penolong Kanan Kokurikulum, Yee Choon Hian, guru-guru dan staf sokongan sekolah. Seramai 41 orang murid pengawas sekolah, 49 orang murid pembimbing rakan sebaya, 25 orang murid pengawas pusat sumber sekolah, 22 orang murid ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas telah menerima sijil watikah pelantikan pemimpin muda.

Menurut Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, “Anak Baik lagi Cerdik adalah matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia masa kini. Maka dengan itu, semoga adanya kem kepimpinan dan watikah pelantikan pemimpin muda ini dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh semua pemimpin muda. Pemimpin muda sekolah ialah pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber, ketua-ketua kelas dan penolong ketua kelas. Begitu juga semoga kem kepimpinan dan watikah pelantikan ini dapat meningkatkan keyakinan pemimpin muda selepas ini semasa menjalankan tugas di sekolah.”

Puan Norazita Menyampaikan Ucapan Peringatan Tanggungjawab Sebagai Pemimpin Muda Kepada Pemimpin Muda Yang Baharu Diwatikahkan

Kemudian, watikah pelantikan muda ditutup dengan acara sesi bergambar pengetua, barisan pentadbir sekolah, guru penyelaras pengawas sekolah, guru penyelaras pembimbing rakan sebaya, guru penyelaras pengawas pusat sumber, guru penyelaras tingkatan bersama barisan pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber sekolah, ketua-ketua kelas dan penolong ketua-ketua kelas.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun