PERANAN PIBG MANTAPKAN USAHA SMK PANTAI MENGANGKAT MARTABAT MURID.

Ucapan perasmian oleh pengetua Encik Ismail Abdullah

Peranan PIBG sangat penting untuk memantapkan usaha SMK Pantai mengangkat martabat murid. Pengetua SMK Pantai, WP Labuan Encik Ismail Abdullah berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Pantai yang telah diadakan pada 20 Mei 2023 yang lalu. Mesyuarat tersebut berlangsung di Dewan SMK Pantai dihadiri kira-kira 400 orang ahli PIBG SMK Pantai.

Pihak sekolah sedar bahawa pembangunan adab dan akhlak murid perlu diberi tumpuan khusus kerana jika murid beradab dan berakhlak , mudah mereka menerima pelajaran dan guru-guru juga lebih banyak masa ditumpukan kepada aspek pembelajaran. Bagaimanapun lumrah alam persekolahan, tentu ada juga sebilangan kecil murid yang terlibat dalam pelanggaran disiplin di sekolah. Harapan pihak sekolah agar ibu bapa  bersama-sama menangani hal ini. Ibu bapa menguruskan anak-anak di rumah, guru-guru menguruskan mereka di sekolah berpandukan garis panduan disiplin KPM yang sedang berkuatkuasa.

Hal berkaitan pembangunan bakat dan kepimpinan murid juga akan diberi tumpuan selaras dengan slogan “SMK Pantai mengangkat martabat murid”. Sekolah akan memberi peluang seluas-luasnya kepada murid untuk terlibat dan bersaing di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa dalam pelbagai aktiviti atau pertandingan yang ada.

AJK PIBG SMK PANTAI 2023/2024

Pengetua berkongsi rasa gembira kerana pada 24 Februari 2023 yang lalu, murid ting 4 SMK Pantai (sekarang ting 5) iaitu Nur Allya Mardiana binti Jairin telah dipilih sebagai penyanyi utama dalam Konsert DiRaja Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan di Istana Budaya dan Nur Allya membuat persembahan di hadapan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ini adalah antara pencapaian tertinggi bagi murid-murid WP Labuan di peringkat kebangsaan.

Kejayaan-kejayaan lain seperti pencapaian pingat emas oleh Rosyam Qusyairi Aspar di Kejohanan Tae Kwondo Antarabangsa di India, emas SUKMA oleh Nur Aimileeya Ismail serta banyak pencapaian lain dalam sukan Boling Padang, Petanque dan Tae Kwon Do membuktikan murid-murid SMK Pantai tidak ketandusan bakat dan faktor sokongan ibu bapa juga merupakan faktor terpenting.

Pengetua juga berkongsi kegembiraan bersama para ibu bapa tentang kejayaan guru SMK Pantai yang baru setahun bertugas di SMK Pantai iaitu Cikgu Sharania a/p Gunasegaran yg telah berjaya menjadi johan kebangsaan bersama pasukan Bahas Guru WP Labuan dalam Pertandingan Bahas Guru Piala KPPM yang berlangsung pada 15 Mei yang lalu di Melaka. Ini akan memberi inspirasi kepada murid-murid dan guru-guru yg lain untuk mencapai kejayaan yang lebih banyak lagi.

Untuk memastikan lebih banyak kejayaan akademik dan kokurikulum dicapai, tentulah sekolah memerlukan dana bagi membiayai aspek pengurusan aktiviti-aktiviti berkaitan. Selain daripada peruntukan sedia ada oleh KPM yang memang tidak mencukupi untuk membiayai semua aktiviti, dan juga sumbangan pihak-pihak tertentu, pengetua juga memohon agar ibu bapa dapat menyokong pihak sekolah dengan menjelaskan sumbangan PIBG yang jumlahnya  diputuskan dalam mesyuarat ini

Berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pentaksiran,  untuk murid-murid tingkatan 1,2 dan 3 KPM telah menetapkan bahawa semua sekolah mesti melaksanakan dan memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang berlaku secara berterusan sepanjang sesi, dan di akhir sesi persekolahan barulah ada ujian yang disebut sebagai UJIAN AKHIR SESI AKADEMIK (UASA).

PBD ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP bagi semua mata pelajaran. PBD bukan bertujuan untuk membandingkan tahap penguasaan antara murid, tetapi untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

Oleh itu tiada ujian atau peperiksaan dalaman yang berjadual untuk tingkatan 1,2 dan 3. PBD dilaksanakan oleh guru mata pelajaran melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti pemerhatian, penulisan dan lisan melalui aktiviti seperti kerja projek, kuiz, pembentangan dan sebagainya. Akhirnya guru akan membuat pertimbangan profesional untuk menentukan Tahap Penguasaan yang dicapai oleh setiap murid, dan pelaporan PBD ini akan disediakan 2 kali setahun untuk diberi kepada murid / ibu bapa.

Pemangku Yang DiPertua PIBG SMK Pantai Puan Daisy Jack dalam ucapan alu-aluannya menyatakan komitmen PIBG untuk bersama-sama pengetua dan guru-guru SMK Pantai memastikan prestasi SMK Pantai dalam pelbagai bidang akan sentiasa menunjukkan peningkatan.

Beliau bersyukur dengan kerjasama padu yang diberikan oleh PIBG dan ibu bapa dan komitmen pihak sekolah yang bersungguh-sungguh memastikan kepentingan pendidikan murid-murid SMK Pantai diberi keutamaan.

Beliau juga menyeru agar semua ibu bapa memberi perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan anak masing-masing dan memastikan mereka membuat apa-apa tugasan yang diberi oleh guru-guru supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan sebaik-baiknya.

Ucapan aluan Pemangku YDP PIBG

Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Pantai juga diserikan dengan acara cabutan bertuah yang menyediakan 119 hadiah cabutan bertuah. Hadiah utama iaitu sebuah  basikal telah dimenangi oleh Encik Hashim Maidan.

Berita Oleh : SMK Pantai

PEMENANG UTAMA CABUTAN BERTUAH EN HASSIM MAIDAN

Loading

image_pdfimage_print