SPM 2022 : LABUAN CATAT PENINGKATAN 4 TAHUN BERTURUT-TURUT
Labuan, 8 Jun 2023 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan keputusan SPM 4 tahun berturut-turut iaitu peningkatan dari segi peratus calon layak mendapat sijil dan Gred Purata Negeri bermula tahun 2019.
97.63% calon layak mendapat sijil SPM 2022 berbanding jumlah peratus 94.88% tahun 2021 iaitu perbezaan sebanyak 2.75%.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P. Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad, ketika mengumumkan keputusan itu di Dewan Sekolah Menengah Sains Labuan, hari ini.
Mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2022, beliau berkata pencapaian calon SPM pada 2022 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.56 berbanding 4.67 pada tahun sebelumnya.
Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Keputusan ini mengatasi Gred Purata Nasional yang mencatatkan 4.74.
Pelajar Cemerlang yang mendapat semua A juga meningkat 2.11% berbanding 1.93% tahun sebelumnya.
Pelajar SMK Labuan, Edison Lau Wei Chun dinobatkan sebagai pelajar cemerlang peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan memperoleh keputusan 8A+ dan 2A.
Lima buah sekolah turut mendapat pencapaian kelulusan 100% iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, SM St. Anne, Sekolah Menangan Agama (SMA) MAIWP dan SM St Anthony.
Tahniah diucapkan !