SMK PANTAI DAN SK LUBOK TEMIANG JOHAN PERTANDINGAN TARIAN ANTARA SEKOLAH WP LABUAN 2023
Pertandingan Tarian Antara Sekolah (Rendah dan Menengah) Peringkat WP Labuan sempena Festival Apresiasi Seni Untuk Semua (FASUS) telah dikelolakan oleh SMK Pantai pada 22 Jun 2023 di Dewan SMK Pantai.
Sebanyak 13 pasukan tarian menyertai pertandingan tersebut iaitu 8 pasukan sekolah rendah dan 5 pasukan sekolah menengah.
Kategori Sekolah Rendah disertai oleh SK Pekan Satu, SJK (C) Chi Wen, SK Patau-Patau, SK Rancha-Rancha, SK Layang-Layangan, SK Bebuloh, SK Lunok Temiang dan SK Kerupang.
Kategori Sekolah Menengah pula disertai oleh SMK Rancha-Rancha, SM St Anne, SMK Mutiara, SMK Labuan dan SMK Pantai.
Bagi kategori Sekolah Rendah, SK Lubok Temiang telah dinobatkan sebagai johan, SK Layang-Layangan naib johan, SK Patau-Patau tempat ketiga, SK Kerupang tempat keempat dan SK Pekan Satu tempat kelima.
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Pantai diisytiharkan sebagai johan, SMK Labuan naib johan, SMK Mutiara tempat ketiga, SM St Anne tempat keempat dan SMK Rancha-Rancha tempat kelima.
Lapan Anugerah Khas disediakan sempena pertandingan ini. Bagi Anugerah Penari Terbaik kategori sekolah menengah, Penari Terbaik Lelaki dimenangi oleh Zulhamri bin Hamid (SMK Labuan), Penari Terbaik Wanita dimenangi oleh Nursyafiqah Aren binti Barhama (SMK Labuan). Bagi kategori sekolah rendah, Penari Terbaik Lelaki dimenangi oleh Mohamad Faiz Ashraf bin Faizan (SK Pekan Satu), manakala Penari Terbaik Wanita dimenangi oleh Winnie Felicia Anak Kumbo (SK Patau-Patau).
Anugerah Koreografi Terbaik kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Pantai manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh SK Lubok Temiang.
Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik kategori sekolah menengah dimenangi oleh SMK Mutiara, manakala kategori sekolah rendah dimenangi oleh SK Lubok Temiang.
Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan disempurnakan oleh Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Dalam ucapannya Awang Marten menyatakan seni tari merupakan aktiviti yang dapat menyemai rasa kecintaan murid terhadap warisan dan budaya tari di samping melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani mahupun intelek. Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada sekolah-sekolah di W. P Labuan kerana berusaha menyertai pertandingan ini yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada murid-murid sekolah
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Nasrun Ramli, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Encik Ismail Abdullah Pengetua SMK Pantai selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan.
Pertandingan dihakimi oleh lima orang hakim diketuai oleh Encik Hasnan bin Md Saad Pegawai Teknikal Kesenian (Tari) Jabatan Pendidikan WP Labuan selaku Ketua Hakim, dibantu oleh empat orang hakim yang lain iaitu Puan Farizah binti Musa Artis Budaya Perbadanan Labuan, Puan Afizalina binti Abdul Wahap Artis Budaya Perbadanan Labuan, Encik Mohamad bin Haji Omar Penggiat Artistik Fesyen dan Solekan, dan Encik Edzanfauzan bin Tamin Jurulatih Tari Dansa Art Productions.
Berita Oleh : SMK Pantai