PROGRAM SUNTIKAN MOTIVASI “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi” MEMBAKAR SEMANGAT MURID CALON SPM
Labuan, 18 Julai – Unit Bimbingan dan Kaunseling SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi menjalankan program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.
Program yang diselaras oleh Encik Ahmad Radzi bin Ab Halim dan Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk membimbing pelajar mengasah minda positif dan yakin dalam menghadapi cabaran. Di samping itu, mendorong pelajar untuk bermotivasi mencapai matlamat atau impian mereka. Program juga bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai kaedah atau teknik dalam penetapan matlamat sama ada dalam pembelajaran mahupun alam karier termasuk berkongsikan dengan pelajar teknik dan kemahiran belajar efektif melalui kaedah atas talian dan luar talian.
Program suntikan motivasi dijalankan pada 18 Julai 2023, jam 7.30 pagi hingga jam 4.30 petang, bertempat di Auditorium Labuan International School. Seramai 154 murid tingkatan 5 dari SSN SMK Mutiara dan 104 murid tingkatan 5 dari SMK Taman Perumahan Bedaun telah menghadiri program yang dijalankan.
Turut hadir sepanjang program dijalankan adalah Encik Ag. Rozlan bin Manan, pengetua SSN SMK Mutiara, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Cikgu Christleynie Jaitin, guru bimbingan dan kaunseling SSN SMK Mutiara, Cikgu Anna Karmilla binti Arbani, guru bimbingan dan kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun serta guru-guru SSN SMK Mutiara dan SMK Taman Perumahan Bedaun.
Program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada jam 7.30 pagi sebelum disusuli tiga slot ceramah disampaikan oleh Tuan Hadi Hidayah Hj Tutuh, penceramah jemputan dari Master Trainer dan Motivator, Al-Hidayah Training Consultancy (AHTC), Sabah.
Slot-slot tersebut ialah slot Quantum Motivasi Sukses “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”, slot Berani Berimpian Sukses dan slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol. Slot Quantum Motivasi Sukses dijalankan selepas murid-murid mendaftar manakala slot Berani Berimpian Sukses dijalankan selepas jam 9.30 pagi iaitu minum pagi. Pada jam 12.30 tengah hari hingga jam 1.30 petang, murid-murid rehat, solat dan makan tengah hari.
Kemudian, Slot Mengurus Waktu dan 7 Protokol diteruskan pada jam 1.30 petang hingga jam 4.00 petang. Hadi Hidayah berkata, “Individu yang berani menyimpan tujuan hidup, sentiasa ingat solat dan ingat ibu bapa adalah individu yang boleh berjaya.”
Acara kemuncak program ialah sesi penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah jemputan oleh NYDP PIBG, SSN SMK Mutiara Puan Susana Binti Binsiu. Seterusnya, Tuan Hadi Hidayah menyampaikan sijil penghargaan pihak sekolah kepada Puan Norazita, pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun dan Cikgu Radzi, wakil pengetua SSN SMK Mutiara. Kemudian, aktiviti bergambar bersama penceramah jemputan dijalankan sebagai penutup tirai program suntikan motivasi “Ubah Diri, Tingkat Prestasi, Capai Misi”.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun