MIKHAIL RAJA PECUT KEJOHANAN OLAHRAGA MSSWPL

Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan (kiri) bersama adik Mikhail (tengah) dan Encik Rosli Guru Besar SK Patau-Patau

Atlet SMK Labuan, Awang Mikhail Shariff bin Kamel Shariff, 16 tahun dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Bawah 18 tahun Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL).

Kejohanan kali ke-22 anjuran Jabatan Pendidikan W.P Labuan itu telah berlangsung di Stadium Mini, Kolej Matrikulasi Labuan dari 11 hingga 15 September 2023.

Adik Mikhail turut merangkul gelaran sebagai Raja Pecut apabila berjaya mengungguli acara 100meter, 200 meter dan 4×100 meter. Selain itu, adik Mikhail juga meraih emas dalam acara 4×400 meter seterusnya membawa pulang 4 pingat emas.

“Kejayaannya ini adalah usaha berterusan dan konsisten selain hasil dorongan ibu bapa, guru-guru merangkap jurulatih yang banyak menaikkan semangat saya untuk menaikkan nama SMK Labuan” katanya ketika diminta mengulas kejayaan yang diperolehi.

Sementara itu, Olahragawati Perempuan Bawah 18 tahun menjadi milik Zukrina Azra binti Zainudin, yang juga merupakan murid SMK Labuan.

Zukrina memperoleh 5 pingat emas dalam acara Lompat Kijang, 400 meter, 200 meter serta dua acara berpasukan iaitu 4×100 meter dan 4×400 meter.

“Pencapaian SMK Labuan dalam kejohanan tahun ini amat memberangsangkan berbanding tahun 2022. Peningkatan pungutan pingat emas daripada 5 emas kepada 13 emas merupakan pencapaian terbaik murid-murid SMK Labuan dalam kejohanan ini,” Pengetua SMK Labuan Tuan Haji Mohd Nizam bin Yasim meluahkan rasa bangga di atas kejayaan Awang Mikhail Sharif bin Kamel Sharif dan semua atlet SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print