MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEMIMPIN MUDA MENYEMARAKAN SEMANGAT KEPIMPINAN MURID SMK TAMAN PERUMAHAN BEDAUN

Adib Hakim memimpin ikrar watikah pelantikan pemimpin muda

LABUAN, 29 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2024.

Program yang diselaras oleh Puan Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 22 April 2024, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah.

Seramai 173 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 42 orang murid sebagai pengawas sekolah, 44 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 43 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas.

Pengawas sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024

Turut hadir Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Awang Adi bin Tuah, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muhammad Ammar Wajdi bin Masdi dari kelas 4 Beta.

Kemudian, Pengetua Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh Pegawai Perhubungan Sekolah,  Inspektor Iskandar bin Aini.

“Pemimpin muda perlu berganding bahu bersama-sama guru melunaskan tugas dan tanggungjawab dalam segenap perkara yang dijalankan. Amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab perlulah sebati dalam sanubari”, kata Inspektor Iskandar dalam ucapannya.

Inspektor Iskandar juga turut menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan.

Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh Adib Hakim bin Rosley (5 Alfa), ketua pengawas sekolah dengan diiringi Shafizul bin Jainal (5 Beta), ketua Pembimbing Rakan Sebaya, Marsyandah binti Robert (5 Delta), Ketua Pusat Sumber Sekolah dan Uwais Adam Mukhriz bin Junaidi (5 Alfa), ketua barisan ketua kelas.

Majlis watikah pelantikan muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu”, “Maafkan kami, cikgu” dan “Kami sayang, cikgu-cikgu” yang diketuai oleh Adib Hakim.

Kemudian, sesi bergambar pengetua bersama barisan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Pengawas Pusat sumber sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun tahun 2024

Loading

image_pdfimage_print