Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016

Labuan – Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) Tahun 2016 telah berlangsung dengan penuh ceria pada 08 Julai 2017 (Sabtu) bertempat di Auditorium Labuan International School (LIS).

Majlis yang disempurnakan oleh YB Ahli Parlimen P166 W.P. Labuan, Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli ini dihadiri oleh Pengarah Pendidikan, En. Raisin bin Saidin, tetamu jemputan, ketua-ketua sektor,  para pengetua,  guru besar,  pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan, dan pelajar yang menerima anugerah pada majlis tersebut.

Ucapan perasmian yang disempurnakan oleh Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, beliau berkata “Kejayaan yang para pelajar kecapi pada hari ini adalah hasil kesabaran, ketekunan dan kegigihan mereka tanpa mengenal rasa jemu. Oleh itu, anak-anak sekalian haruslah terus menjadikan kecemerlangan ini sebagai penggerak kepada kejayaan yang lebih besar kerana banyak lagi halangan dan cabaran yang harus ditempuhi dalam perjalanan yang masih jauh dan luas. Kita harus sentiasa ingat bahawa cemerlang ini bermaksud, anak-anak dapat mengamalkan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran atau soft skill dalam kehidupan seharian. Natijah daripada kecemerlangan ialah keelokan atau keindahan yang tercerna dalam akal budi dan perilaku serta mewarnai watak keperibadian masing-masing . Kesemuanya menggambarkan kesempurnaan peribadi sepertimana yang diharapkan oleh negara kita, iaitu memiliki modal insan yang terbaik untuk kemajuan negara.

Saya amat berharap anak-anak cemerlang ini khususnya lepasan SPM dan STPM akan dapat menempatkan diri di institusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Anda adalah survival bangsa Malaysia dalam menghadapi arus globalisasi.  Saya selaku wakil rakyat di sini sentiasa memberikan sokongan kepada Jabatan Pendidikan Labuan dalam apa jua program sama ada program kurikulum atau kokurikulum demi melihat keberhasilan anak-anak di pulau ini berjaya di dunia dan akhirat. Yayasan Pembangunan Labuan juga turut sama memberikan sumbangan demi melihat kemenjadian anak-anak di pulau ini dalam pencapaian akademik mereka. Peningkatan ekonomi di pulau ini terletak dalam tangan generasi muda yang inovatif dan berdaya saing. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini supaya kita tidak ketinggalan dalam dunia hari ini”.