SMK MUTIARA ANJUR KOLOKIUM INOVASI DAN KAJIAN TINDAKAN
LABUAN: Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara telah menganjurkan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan Peringkat Negeri 2024 bertempat di Dewan Semarak dan Bilik Mesyuarat SSN SMK Mutiara pada 12 Oktober 2024. Kolokium tersebut telah melibatkan 51 orang guru yang terdiri daripada guru-guru yang mewakili 14 panitia mata pelajaran, Program Pendidikan Khas dan Integrasi (PPKI), Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) serta 4 orang guru jemputan iaitu Michele Edmund dan Ritah Julai dari SJKC Chung Hwa, Nuridayu Shapi dari SJKC Chi Wen dan Rajeswari A/P Perumal dari SK Lubok Temiang.
Penyelaras program Junaidah Baharuddin berkata Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini diadakan adalah untuk membantu para guru mendalami ilmu inovasi dan kajian tindakan agar dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan seterusnya melahirkan guru-guru yang kreatif dan inovatif dan sentiasa membudayakan inovasi dan kajian tindakan. Selain itu,guru-guru juga dapat berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik menerusi penyertaan dalam kolokium ini.
Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan ini telah diadili oleh 4 orang panel hakim berwibawa iaitu Pengerusi Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Dr Hyginus Lester Junior Lee, Penolong Pengarah Unit Inovasi dan Kajian Tindakan Teknologi , Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Desmond Sandum, Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) WP Labuan Mohd Saiful Adha Ismail dan guru SK Pekan Dua WP Labuan Nurulhuda Mohd Derus.
Seramai 13 orang guru telah menerima Anugerah Emas manakala Anugerah Perak pula diberikan kepada 20 orang guru dan 14 orang guru pula menerima Anugerah Gangsa. Anugerah Pilihan Juri bagi kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan peringkat negeri ini telah dinobatkan kepada Mizan Adlia Mohd Shoib dari SMK Mutiara.
Dalam majlis yang sama sijil penghargaan juga diberikan kepada Persatuan Penyelidikan, Inovasi dan Kreativiti Labuan (LaRIS) Wilayah Persekutuan Labuan kerana menjadi Rakan Strategik sempena kolokium ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah, Unit Sains dan Matematik Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Nurul Hidayah Umar yang mewakili Pengarah Pendidikan JPWPL Abidin Marjan. Turut hadir dalam majlis tersebut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Rohani Tali @Md Ali mewakili pengetua SMK Mutiara Ag.Rozlan Manan.
SSN SMK Mutiara merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan kerana telah menyokong menjayakan Kolokium Inovasi dan Kajian Tindakan anjuran SSN SMK Mutiara yang bertujuan agar guru-guru membudayakan Inovasi dan Kajian Tindakan bagi membantu guru dalam menghadapi cabaran dan masalah berhubung dengan amalan pengajaran dan pembelajaran serta dapat meningkatkan kemahiran profesional guru.
Berita oleh : SMK Mutiara