Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun Suburkan Budaya Keusahawanan dan Kesukanan
Labuan – Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun 2024 yang berlangsung pada 29 September lalu, telah diadakan di perkarangan sekolah dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya Pertandingan Bola Tampar terbuka, menyediakan gerai jualan bagi kelab sekolah dan peniaga luar, pameran dari agensi luar, rumah hantu, tayangan filem di pusat sumber sekolah, dan lawatan kemasyarakatan.
Hari Keusahawanan dan Kokurikulum (HKK) SMK Taman Perumahan Bedaun telah menyuburkan budaya keusahawanan dan kesukanan, demikian intipati ucapan perasmian Pengetua, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri.
Beliau berkata, Hari Keusahawanan dan Kokurikulum menyediakan murid-murid dengan peluang menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Ini secara langsung juga dapat memberi impak kepada pembangunan sifat-sifat positif murid seperti rajin, jujur, bekerjasama dan komited terhadap tanggungjawab yang diberi, pihak sekolah komited dengan peranan pihak sekolah iaitu membantu membangunkan modal insan yang kompetitif serta berpotensi untuk memperkukuhkan bidang keusahawanan negara.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pertandingan bola tampar yang juga memupuk semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun.
Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun bertambah meriah dengan hasil gabungan kerjasama agensi lain melalui pameran ‘Kenali Ubat Anda’ bersama Jabatan Kesihatan WP Labuan.
Sebanyak 12 pasukan telah mengikuti pertandingan bola tampar terbuka yang diadakan sempena Hari Keusahawanan dan Kokurikulum Sekolah. Johan pertandingan bola tampar terbuka lelaki telah dimenangi oleh Pasukan Chilun VC, naib johan pasukan TVT VT dan tempat ketiga pasukan Chailuk U21 VC.
Program ini telah mendapat maklum balas orang ramai yang sangat positif terhadap penganjuran Hari Keusahawanan dan Kokurikulum SMKTPB pada tahun ini dan berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya serta membaiki beberapa aspek yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun