SK LAYANG-LAYANGAN REBUT PELUANG MERIAHKAN KARNIVAL STI MADANI 2024
Labuan, 9 November 2024 – Sekolah Kebangsaan Layang-layangan telah menyertai Karnival STI Madani 2024 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL). Penyertaan ini memberi pendedahan kepada 40 orang murid dan 4 orang guru pengiring untuk mengembangkan pengetahuan dan minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (U-Science) dan Perbadanan Labuan (PL) telah berlangsung selama dua hari pada 8 hingga 9 November 2024. Murid-murid SK Layang-layangan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka meneroka dunia STI secara interaktif dan hands-on. Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuklah pameran, demonstrasi sains serta sesi perkongsian ilmu yang memberi pendedahan mengenai amalan serta kerjaya dalam bidang Sains,Teknologi dan Inovasi.
Sebagai salah satu sekolah yang menyertai karnival ini, SK Layang-layangan telah memanfaatkan peluang tersebut untuk mendedahkan kepada murid-muridnya dengan pengalaman berharga yang tidak hanya berfokus kepada teori, tetapi juga aplikasi praktikal STI. Aktiviti hands-on yang melibatkan eksperimen sains dan interaksi dengan teknologi canggih memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar dengan cara yang lebih menarik dan menyeronokkan. Pengalaman ini memberi peluang besar kepada murid-murid SK Layang-layangan untuk melihat sendiri sekali gus merasai konsep-konsep Sains, Teknologi dan Inovasi yang dipelajari di dalam kelas. Murid-murid dilihat sangat teruja dengan pelbagai aktiviti yang dapat membantu mereka memahami sains secara lebih mendalam.
Penyertaan SK Layang-layangan dalam Karnival STI Madani 2024 menunjukkan komitmen sekolah dalam menyokong pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi. Para murid turut mengambil bahagian dalam sesi kuiz yang menguji pengetahuan mereka tentang STI, serta menyaksikan beberapa demonstrasi sains yang mengagumkan. Pendedahan awal terhadap bidang STI seperti ini bukan sahaja membangkitkan sifat ingin tahu murid terhadap subjek sains, malah perkara ini turut memberikan gambaran yang jelas kepada mereka tentang potensi kerjaya dalam bidang teknologi dan inovasi pada masa hadapan. Karnival STI Madani 2024 bukan sahaja telah memberi peluang kepada murid-murid SK Layang-layangan untuk meneroka dunia Sains, Teknologi dan Inovasi dengan lebih dekat, tetapi juga berupaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan STI dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, diharapkan supaya inisiatif seperti ini dapat dianjurkan dengan kerap agar lebih ramai murid mendapat manfaat serta mampu membina asas yang kukuh dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi. Karnival kali ini dilihat telah menandakan langkah penting ke arah pembentukan generasi muda yang celik STI, seiring dengan matlamat pendidikan negara yang lebih progresif dan berwawasan.
Berita Oleh : SK Layang – Layangan