Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024

Labuan, 19 Disember : Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah mengadakan majlis Khatam Al-Quran Perdana bertempat di Masjid Jamek An Nur bagi menghargai usaha 257 murid tahun 6 yang telah tamat atau Khatam Al-Quran 30 juzuk melalui pendekatan kaedah Iqra’.
Majlis yang bermula seawal jam 7.00 pagi ini merupakan acara tahunan yang telah dirancang oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI), JPWPL seperti tahun-tahun sebelumnya dengan matlamat untuk meningkatkan penguasaan murid-murid dalam bidang Al Quran seterusnya melahirkan murid-murid yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
Majlis Khatam Al-Quran ini diseriakan dengan penyampaian syarahan spontan daie cilik bertajuk ‘Al Quran Nur Hidupku’ oleh adik Norhanan Nadhirah Ahmad Aizuddin daripada Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dan tazkirah “Ibrah Al Quran’- Wasiat Luqman al-hakim oleh ustaz Ibrahim Mat daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa.
Perasmian Majlis Khatam Al-Quran Perdana telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Abidin Marjan.
“Saya amat berbesar hati serta menyambut baik terhadap penganjuran program seperti ini kerana, ianya dapat memupuk rasa kecintaan terhadap Al-Quran yang mendalam terhadap kalamullah seterusnya memartabatkan Al Quran ke satu tahap yang lebih tinggi.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak SPI JPN Labuan dan tidak lupa juga semua guru-guru Pendidikan Islam atas dedikasi dan komitmen mereka dalam membimbing anak-anak murid ke arah kecemerlangan.
Peranan anda amat besar dalam melahirkan generasi pewaris yang berilmu, bertakwa, dan berakhlak mulia. Sesungguhnya, jasa anda tidak ternilai dan amat dihargai” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Yahya Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Ag Marten Datuk Hj Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan Noraini Hj Sahbudin, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Salim, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Guru-guru Besar, Rakan strategik JPWPL daripada Majlis Agama Islam W.P. Labuan (MAIWPL), Jabatan Agama Islam W.P.Labuan (JAWI), ketua kampung Gersik, Pegawai Masjid Jamek An Nur, guru Pendidikan Islam dan ibu bapa murid.







