SMK Pantai Labuan Adakan Hari Pendaftaran Murid

Labuan, 15 Februari 2025 – SMK Pantai WP Labuan melangsungkan Hari Pendaftaran Murid pada 15 Februari 2025, dari jam 8 pagi hingga 11 pagi. Acara ini diadakan bagi memudahkan proses pendaftaran murid-murid yang baru serta memperkenalkan suasana sekolah kepada mereka.
Bagi pelajar Tingkatan Satu, pendaftaran dilakukan di Dewan sekolah. Murid-murid tersebut mengambil buku-buku teks di Dewan dan kemudian membeli kelengkapan sekolah di Koperasi sekolah. Dalam masa yang sama, mereka juga melengkapkan borang-borang pendaftaran yang diperlukan bersama dengan guru kelas masing-masing.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Lima mendaftar di kelas masing-masing. Mereka turut membersihkan kelas serta memperbaharui info-info kelas seperti jadual waktu, jadual bertugas, dan mengisi borang maklumat murid. Aktiviti ini diadakan bagi memastikan keadaan kelas teratur dan siap untuk sesi pembelajaran yang akan datang.
Selain itu, kelas-kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mengadakan pendaftaran pada hari yang sama. Ibu bapa murid PPKI hadir bersama bagi membantu proses pendaftaran dan berkenalan dengan guru-guru yang terlibat.
Pengetua SMK Pantai WP Labuan, En Ismail bin Abdullah, menyatakan bahawa Hari Pendaftaran Murid ini adalah satu langkah penting dalam memastikan semua murid dapat memulakan sesi pembelajaran mereka dengan lancar. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan staf yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara ini.
Hari Pendaftaran Murid SMK Pantai Labuan berakhir dengan jayanya pada jam 11 pagi, dan murid-murid kini bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran mereka dengan semangat yang baru.




