
Selasa 21 Jan 2025, SMK Rancha-Rancha (SMKRR) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Tengah , Tuan Haji Abu Shukor Bin Jingga, bersama ahli rombongan iaitu Tuan Haji Mohd Ezham Bin Leman, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Yusdi Bin Haji Nasip Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah, turut serta pegawai Lembaga Tabung Haji Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kunjungan ini amat bermakna buat SMK Rancha_Rancha kerana turut diiringi majlis penyerahan cek bantuan bagi program Corporate Social Responsibility atau CSR Tabung Haji. Menurut Tuan Haji Shukor Bin Jingga, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Tengah, ini adalah merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh pihak Tabung Haji dalam agihan zakat kepada yang memerlukan dalam kategori bantuan pendidikan.
Beliau menyatakan rasa gembira kerana dapat berkunjung ke SMKRR untuk tujuan penyerahan cek ini. Beliau sangat berharap bantuan seumpama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak sekolah dalam memperbaiki infrastruktur fizikal sekolah demi kebaikan anak-anak murid yang belajar di sekolah ini.
Beliau juga menyatakan bahawa pihak Tabung Haji memperuntukkan bajet khas untuk pelbagai bantuan bagi membantu pembangunan bidang akademik bukan saja kepada sekolah-sekolah tetapi juga kepada institusi pengajian tinggi.
Dalam majlis ini, beliau turut berharap agar lebih ramai guru sekolah ini menabung di Tabung Haji terutamanya melalui pemotongan gaji untuk simpanan. Selain itu, anak-anak pelajar juga amat digalakkan untuk membuka akaun di Tabung Haji. Lebih ramai para penyimpan di Tabung Haji, maka pihak Tabung Haji bersedia membantu lebih ramai lagi mereka yang memerlukan.

Ustaz Wan Azman Bin Wan Awang selaku Pengetua SMKRR juga menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana memilih SMKRR sebagai penerima bantuan dalam program CSR ini.
Bantuan ini sangat bermakna kerana SMKRR memerlukan dana untuk membaik pulih besi penghadang di sekitar tangga sekolah yang sudah berkarat yang mana keadaan ini tidak selamat untuk warga sekolah ini. Bantuan dari Pihak Lembaga Tabung Haji akan digunakan sebaik mungkin dan akan digunakan sebaiknya demi manfaat warga sekolah.
Turut hadir bersama adalah dua pegawai dari Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Puan Siti Rahimah bt Yusuppu dan Puan Siti Zakiah bt Mohd Hussin.
Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha