Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Menyemarakkan Semangat Kepimpinan Murid SMK Taman Perumahan Bedaun

Tuan ASP Ruslan menyampaikan sijil watikah pelantikan pemimpin muda

Labuan, 28 April – Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Taman Perumahan Bedaun telah berkolaborasi dengan Unit Badan Pengawas dan Unit Pusat Sumber Sekolah menjalankan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda tahun 2025. Program yang diselaras oleh Viviana Ayu Saidin tersebut, bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid melaksanakan tanggungjawab, memupuk kemahiran kepimpinan, memperkenalkan barisan pemimpin muda dan memberi pengiktirafan jawatan murid.

Majlis dijalankan pada 14 April 2025, jam 7.00 pagi hingga jam 8.00 pagi, bertempat di Tapak Perhimpunan Sekolah. Seramai 178 murid telah dilantik sebagai pemimpin muda sekolah dimana 36 orang murid sebagai pengawas sekolah, 36 orang murid sebagai Pembimbing Rakan Sebaya, 40 orang murid sebagai Pengawas Pusat Sumber, 10 orang murid Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, 13 orang murid Pengawas Koperasi Sekolah, 22 orang murid sebagai ketua kelas dan 22 orang murid penolong ketua kelas. Turut hadir program Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua Sekolah, Tuan ASP Ruslan bin Tarai, Pegawai Perhubungan Sekolah, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan Pentadbiran, Cik Seri Kandi binti Muali, Penolong Kanan HEM, Encik Yee Choon Hian, Penolong Kanan Kokurikulum, guru-guru dan murid-murid sekolah.

Majlis watikah pelantikan pemimpin muda tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Maju dan Sejahtera dan lagu Sekolah. Seterusnya, ikrar Rukun Negara dipimpin oleh Puan Norazita dan bacaan doa dipimpin oleh Muazhadif dari kelas 5 Delta. Kemudian, Puan Norazita menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti ucapan perasmian majlis watikah pelantikan pemimpin muda oleh ASP Ruslan bin Tarai. “Pemimpin Muda yang terpilih haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan komitmen yang tinggi dalam membimbing rakan-rakan yang lain.”, kata ASP Ruslan dalam ucapannya.

Setelah itu, ASP Ruslan menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda sekolah dengan diiringi pengetua dan barisan guru penolong kanan. Ikrar pemimpin muda dipimpin oleh adik Nur Qaisara Najwa binti Johari (5 Alfa), ketua pengawas sekolah. Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SMK Taman Perumahan Bedaun diakhiri dengan ucapan murid-murid “Terima kasih, cikgu.”, “Halalkan ilmu yang diberi, cikgu.”, “Maafkan kami, cikgu.” dan “Kami sayang, cikgu.” yang diketuai oleh Nur Qaisara Najwa. Kemudian, sesi bergambar bersama ASP Ruslan diiringi pengetua bersama barisan guru penasihat dan pemimpin muda sekolah dijalankan sebagai penutup tirai majlis.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Nur Qaisara memimpin ikrar watikah pelantikan pemimpin muda

Loading

image_pdfimage_print