Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PIBG Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun : “MENYATU ASPIRASI, MEMPERKASA GENERASI”

Labuan : Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-24 SMK Taman Perumahan Bedaun telah berlangsung dengan jayanya pada pagi Sabtu, 24 Mei 2025 bertempat di Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun. Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dan dihadiri oleh ibu bapa, guru serta warga sekolah yang komited terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.
Majlis telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Encik Azeryn bin Hj Mamma, Penolong Pengarah Unit Pengurusan Bakat, Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, yang juga merupakan Pegawai Angkat sekolah. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan guru dan ibu bapa yang sentiasa komited dalam menyokong pembangunan sahsiah dan akademik murid. Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah demi kecemerlangan pendidikan anak-anak.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid, ahli jawatankuasa PIBG, para guru serta lebih 200 orang ibu bapa yang hadir memberikan sokongan padu terhadap pembangunan sekolah. Yang Dipertua PIBG, Encik Heidar Hussein bin Mohammad Rashid turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan mengimbas pencapaian serta sumbangan PIBG sepanjang tahun sebelumnya. Beliau turut menyeru ibu bapa agar terus berganding bahu dalam menyokong program-program pembangunan pelajar dan aktiviti sekolah.


Mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda penting meliputi pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat yang lalu, pembentangan laporan aktiviti PIBG sesi 2024/2025, pembentangan penyata kewangan, perbincangan isu-isu semasa berkaitan kebajikan dan pembangunan sekolah serta perancangan aktiviti untuk tahun akan datang.
Sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan ibu bapa, pihak sekolah telah menganjurkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga sekolah dan ibu bapa.
Secara keseluruhannya, mesyuarat kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa dan ini seterusnya membuktikan komitmen dan keprihatinan komuniti sekolah dalam memacu kecemerlangan pendidikan di SMK Taman Perumahan Bedaun.
Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun
