Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa
Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada 2017 Bersama Pelayar Antarabangsa telah diadakan pada 16 julai 2017 di Dewan Sri Kedayan Sekolah Kebangsaan Sungai Lada. Majlis sambutan meriah raya ini telah dianjurkan oleh warga Sekolah Kebangsaan Sungai Lada bersama PIBG SK. Sg. Lada.
Majlis yang bermula seawal 9.00 pagi dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Pn. Anita Shyamini S. Azman dan YDP PIBG, Hj Shuib Bin Nasir. Majlis tersebut seterusnya dimeriahkan lagi dengan tarian sambut tamu oleh penari-penari kebudayaan Perbadanan Labuan. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan lagu-lagu raya daripada artis perbadanan Labuan yang diiringi oleh kumpulan pemuzik perbadanan Labuan.
Majlis Sambutan Meriah Raya Sekolah Kebangsaan Sungai Lada ini turut dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat iaitu Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Haji Bashir Bin Hj Alias, Ahli Parlimen P166 Labuan, Datuk Rozman Datuk Hj Isli, Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base Labuan, Ybhg. Dato’ Harris Tan dan Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM) Dato’ Sri Haji Mohd Alias Haji Abd Rahman, 20 orang Pelayar Antarabangsa serta Pegawai- pegawai dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara acara yang turut menyemarakkan lagi majlis ini ialah acara Karaoke Riang Raya, Pertandingan Gerai Tercantik Raya, Teka Biji Betik Raya, Glamour Raya 2017, Program Anak Angkat, pemasangan Padlock pada “Wall of Memories” oleh Para Pelayar Antarabangsa dan Penanaman Anak Pokok oleh tetamu kehormat bersama Para Pelayar Antarabangsa daripada warganegara Belanda, Australia, British, Jerman, New Zealand dan Columbia. Majlis ini telah diakhiri dengan sesi bergambar.